KOTA BHARU: Lagu 'bea sobar bea' atau Cinta Setandan Pisang nyanyian Deen Manjo dan Eza Edzrin yang menggegar dunia sebelum ini akan diangkat sebagai telemovie oleh sebuah stesen televisyen terkenal tanah air.

Pengarah Urusan Ediee Hamid Picture Record, Ediee Hamid berkata, perbincangan sudah berjalan dan mengikut perancangan ia bakal ditayangkan pada Disember ini.

"Sebaik sahaja perbincangan akhir selesai, kita akan terus jalani penggambaran. Telemovie berdurasi dua jam itu menampilkan gandingan penyanyi lagu ini iaitu Deen Manjo (hero) dan Eda Edzrin (herion).

"Kita gunakan 100 peratus loghat Kelantan dan penggambaran akan diadakan di sekitar negeri ini," katanya.

Menurut beliau, telemovie itu akan menampilkan nama besar dalam dunia lakonan tanah air iaitu Che Man atau Kamarul Yusoff.

Ujarnya, pihak produksi turut memberi peluang kepada pelakon-pelakon tempatan di negeri ini untuk membintangi telemovie Cinta Setandang Pisang.

Ediee Hamid memberitahu, pada masa sama pihaknya akan melancarkan lagu baru iaitu Tok Leh Sobar nyanyian Deen Manjo dan Eda Ezrin yang merupakan kesinambungan kepada Bea Sobar Bea.

Beliau berharap rakyat Kelantan dapat memberikan sokongan kepada telemovie ini.

Media sebelum ini melaporkan lagu tersebut menjadi sohor kini dan mendunia sehingga ke Itali.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian