KRU artis Malaysia pertama menggunakan AI Generatif dalam video muzik
KRU lancar video muzik terkini 'Voodoo' yang menggabungkan konsep dari era terdahulu bersama inovasi teknologi.
Amanz
Thu Nov 28 2024
Melalui pelancaran video muzik terkini KRU bertajuk 'Voodoo', ia menampilkan penggunaan teknologi AI generatif untuk menghasilkan kembar digital trio adik-beradik itu. - Foto Amanz
DUNIA hari ini tidak dapat lari daripada teknologi kecerdasan buatan (AI) khususnya apabila ia telah diguna pakai dalam pelbagai bidang dan industri sehingga banyak mengubah aspek kehidupan kita sedikit demi sedikit.
Ia termasuk dalam industri muzik yang membolehkan pencipta kandungan menjana muzik dan mencipta bunyi baharu lalu mengubah landskap industri kreatif.
Terbaharu, KRU dilihat mencuri perhatian menerusi pelancaran video muzik terkini mereka 'Voodoo' yang menggabungkan konsep yang diambil dari era terdahulu bagi memberikan sentuhan nostalgia bersama inovasi teknologi.
Melaluinya, ia menampilkan penggunaan teknologi AI generatif untuk menghasilkan kembar digital (Digital Twin) trio adik-beradik itu.
Ia sekali gus menjadikan mereka artis Malaysia pertama yang memperkenalkan era baharu penghasilan video muzik menggunakan teknologi AI.
Pengenalannya juga bukan sekadar lagu semata tetapi juga sebagai pembuka lembaran baharu untuk industri dunia hiburan tanah air.
Lagu Voodoo kini boleh didengar melalui semua platform penstriman digital termasuk Spotify.