DIVA tersohor Indonesia, Krisdayanti, sekali lagi membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar ikon muzik, tetapi juga wanita berjiwa besar.


Ringkasan AI
  • Krisdayanti, pada usia 50 tahun, menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Pemerintahan di Universitas Terbuka Jakarta.
  • Beliau hadir ke sesi orientasi pelajar baharu dengan penuh keyakinan dan berkongsi harapannya untuk menamatkan pengajian bersama pelajar lain.
  • Krisdayanti memulakan kerjaya muziknya pada usia 12 tahun dan namanya meledak setelah memenangi pertandingan Asia Bagus pada 1992.


Kini, pada usia 50 tahun, isteri kepada usahawan Raul Lemos ini mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Pemerintahan di Universitas Terbuka Jakarta.

Saat sesi permulaan semester, Krisdayanti hadir dengan penuh keyakinan ke sesi orientasi pelajar baharu.

Menariknya, beliau turut mengenakan jaket rasmi universiti rona kuning sama seperti pelajar lain.

Pelantun lagu "Menghitung Hari" ini tampil bersahaja duduk di barisan hadapan bersama barisan pensyarah dan rektor universiti.

Menerusi hantaran di Instagram itu, dapat dilihat Diva Indonesia itu turut naik ke pentas dan berkongsi harapannya kepada ratusan pelajar baru yang turut sama memulakan pengajian.


“Saya berharap kita semua dapat menamatkan pengajian bersama dan menjadi pelajar yang cemerlang serta profesional,” katanya penuh semangat.

Selain itu, pada kapsyen hantaran itu, Krisdayanti turut berkongsi rasa syukurnya kerana dapat kembali ke dunia akademik.

“Babak baru untuk terus bergerak, InsyaAllah Yasarallahu… tidak ada salahnya memulakan sesuatu yang baik.

"Selamat datang di orientasi pengajian mahasiswa baru Universitas Terbuka Jakarta  bersama seluruh adik adik mahasiswa,” tulisnya.

Imbas kembali, Krisdayanti memulakan kerjayanya dalam dunia tarik suara seawal usia 12 tahun menerusi album "Biasa Saja".

Namun namanya benar-benar meledak setelah memenangi pertandingan Asia Bagus ketika berusia 17 tahun pada 1992. -Media Hiburan