Peminat Justin Bieber marah dan kecewa apabila penyanyi itu lewat dua jam untuk memulakan konsertnya di London.

Persembahan di O2 Arena yang dijadualkan pada 8.30 malam itu hanya bermula pukul 10.30 malam.

Kebanyakannya yang merupakan remaja sekolah terpaksa pulang awal dan tidak dapat menyaksikan konsert sehingga selesai.

Sebilangan daripada pengunjung yang datang menaiki keretapi juga terpaksa balik sebelum tengah malam kerana tidak mahu terlepas jadual keretapi yang terakhir.

Membayar sekurang-kurangnya 100 dolar untuk tiket, mereka ralat apabila penganjur tidak memberitahu sebab-sebab kelewatan.

Hanya selepas konsert bermula, penganjur menulis di laman Twitter rasmi dengan memohon maaf tanpa menyatakan sebarang alasan.

Kemunculan Bieber di pentas pada pukul 10.30 malam itu juga diejek para peminat yang tidak berpuas hati dengan tindakannya itu.

Bieber dijadualkan membuat persembahan di O2 Arena selama tiga malam bermula pada Selasa.

Sepanjang berada di London, penyanyi berusia 19 tahun itu dilihat kerap berkunjung ke kelab-kelab malam.

Jurucakap Bieber enggan memberi sebarang komen.