KUCHING: Kumpulan legenda popular era irama disko 1970-an Boney M akan mengadakan konsert sempena Jelajah Ulang Tahun ke-50 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 4 Januari tahun depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengumumkan mengenai acara itu menyifatkan ia sebagai satu pencapaian penting bagi industri hiburan dan pelancongan Sarawak.

"Saya gembira untuk mengumumkan bahawa Boney M telah memilih Kuching sebagai persinggahan pertama Jelajah Ulang Tahun ke-50 mereka," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini. 

Ditubuhkan 50 tahun lepas, Boney M dikenali di seluruh dunia dengan lagu-lagu mereka yang menggabungkan irama pop, disko dan reggae seperti Rasputin, Daddy Cool, Ma Baker dan Rivers of Babylon.

"Ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup untuk melihat kumpulan ikonik ini secara langsung di atas pentas," kata Abdul Karim sambil melahirkan keyakinan bahawa acara sedemikian akan menambah tarikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan, yang menyasarkan untuk memulihkan sektor pelancongan di negeri itu menjelang tahun depan dengan sasaran lima juta pengunjung.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Zaid Zaini berkata acara berkenaan juga akan menampilkan At Adau dari Sarawak sebagai persembahan pembukaan. Dikenali dengan gabungan unik sape tradisional dan instrumen moden, Adau akan memainkan set yang diilhamkan oleh disko untuk melengkapkan suasana retro Boney M.

Tiket konsert itu kini boleh didapati di www.frontrow.asia dan platform tiket Swiftic di https://swiftic.my/event/23/boney-m-50th-anniversary-concert.


-- BERNAMA