KUALA LUMPUR: Tiket konsert kumpulan rock British Coldplay pada 22 November di Stadium Nasional Bukit Jalil habis dijual dalam tempoh tiga jam.

Tiket yang berharga antara RM228 hingga RM3,088 itu mula dijual pada pukul 10 pagi semalam, dengan pre-queue bermula pada pukul 9 pagi.

Walau bagaimanapun, beberapa scalper yang tidak bertanggungjawab dipercayai mengambil kesempatan dengan membeli tiket dalam jumlah yang banyak dan menjualnya semula pada harga yang lebih tinggi untuk keuntungan peribadi.

Semakan di beberapa platform jualan mendapati tiket paling murah yang pada asalnya berharga RM228 bagi kategori 7, dijual pada harga RM1,749, iaitu hampir lapan kali ganda harga sebenar.

Di Carousell, tiket kategori 4 dan 5, yang asalnya berharga RM598 dan RM498, masing-masing dijual pada harga RM2,499 dan RM3,000.

Netizen menggunakan media sosial untuk meluahkan kekecewaan mereka, dengan majoriti menggesa peminat agar tidak membeli daripada scalper kerana itu sahaja cara untuk memberi pengajaran kepada golongan tidak bertanggungjawab ini.

Orang ramai juga menggesa pengurusan sistem jualan tiket yang lebih baik di masa hadapan, seperti mengehadkan pembelian tiket dengan mewajibkan pembeli memasukkan nombor MyKad atau pasport semasa membeli tiket.