Acara yang diberi nama Festival Idearaya ini diusahakan beberapa kolektif dan aktivis, dengan menghimpun pelbagai aktiviti yang menjadikan rantau ini sebagai subjek utamanya. Saya dan rakan-rakan di Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dipertanggungjawab untuk mengendalikan salah satu pengisian acara iaitu tayangan dan diskusi filem.
Kami kemudiannya sepakat menampilkan aspirasi ‘ASEAN Dalam Filem`, dengan sessi tayangan tersebut menampilkan pelbagai filem pendek bertema marjinal dari negara-negara Asia Tenggara. Diskusi dan pembicaraan ketika itu bertumpu kepada isu dan cabaran sosio-budaya ASEAN melalui pemaparan kisah-kisah masyarakat marjinal dan terpinggir di rantau ini.
Sebagai seorang yang bergiat dalam dunia filem, refleksi serta interpretasi filem – dalam konteks ini adalah pemaparan ASEAN di layar - adalah salah satu sudut pandang yang sering saya bahaskan. Namun, atas kapasiti yang sama, saya juga tidak kurang untuk memandang dari perspektif yang sebaliknya; iaitu tentang bagaimana pula kedudukan filem dan sinema dalam gagasan ASEAN.
Dalam kata mudah, adakah filem dan sinema ini dipandang signifikan oleh ASEAN?
Ini membawa latar masa catatan saya ini ke beberapa bulan yang lalu, ketika saya berada di kota Jakarta – tepatnya di Sinematek Indonesia; arkib filem pertama di Asia Tenggara. Saya berada di sana buat kesekian kali, sebagai lanjutan dari kerjasama yang telah terjalin sejak beberapa tahun lalu antara Sinematek dengan salah sebuah organisasi yang saya terajui; World Heritage Moving Image Centre (WHMIC).
Sejak tahun 2018, WHMIC aktif menggerakkan usaha dalam konteks advokasi, diplomasi serta apresiasi berkaitan filem sebagai warisan di Malaysia; disamping membina persahabatan, kerjasama serta kolaborasi dengan pelbagai pihak di rantau ini.
Ketika di perpustakan Sinematek, dalam koleksi ribuan buku berusia puluhan tahun, saya secara tidak sengaja bertemu dengan dua buah buku yang diterbitkan oleh ASEAN Committee on Culture and Communication (ASEAN-COCI). Buku pertama berjudul ‘Making Films in ASEAN Countries` terbitan tahun 1993, manakala sebuah lagi berjudul ‘The Films of ASEAN’ terbitan tahun 2000.
Melalui platform ASEAN-COCI, penerbitan setiap satunya diterajui editor kandungan dari Thailand dan Filipina, bersama dukungan jawatankuasa editorial dari negara-negara anggota.
Membelek kembali kedua buku ini melangsungkan optimisnya saya terhadap kedudukan filem dalam agenda ASEAN, khususnya apabila memulai usaha diplomasi filem ini. Ia cerminan tentang bagaimana ASEAN-COCI sudah sedia memainkan peranan memberdaya filem dan sinema di rantau ini sejak lebih 35 tahun lalu.
Meski dalam usaha sesederhana penerbitan sebuah buku, ia membuktikan bahawa sejak lebih tiga dekad yang lalu, dunia perfileman sudah mula disantuni dalam agenda ASEAN.
Buat yang belum arif, ASEAN-COCI ialah jawatankuasa di bawah ASEAN yang ditubuhkan untuk mempromosikan kerjasama budaya dan maklumat dalam kalangan negara anggota. Bertujuan bagi menjadi platform memperkukuhkan identiti serantau, memelihara warisan budaya, serta mempromosikan diplomasi budaya, sebagai landasan bagi meningkatkan hubungan dan persefahaman masyarakat dalam komuniti ASEAN.
Menyorot pula ke sekitar 13 tahun lalu, sebuah lagi inisiatif yang mendukung optimisme saya adalah apabila sekretariat ASEAN bersama kerajaan Korea Selatan di bawah platform ASEAN-ROK telah sama-sama menggerakkan sebuah program yang telah memberikan impak begitu besar kepada dunia sinema serantau. ASEAN-ROK telah memulakan ASEAN-ROK Film Leaders Incubator (FLY) pada tahun 2012, iaitu sebuah bengkel pembuatan filem pendek yang menghimpunkan pembuat filem muda dari 10 negara Asia Tenggara dan Korea Selatan membawa satu matlamat bersama.
Dibiayai oleh Kementerian Luar Negeri Korea dan ASEAN, penganjuran dikendalikan secara tetap oleh Busan Film Commission dan Asian Film Commissions Network (AFCNet), dengan kerjasama agensi-agensi perfileman dari negara-negara anggota ASEAN, yang setiap tahun bergilir menjadi tuan rumah di negara masing-masing. Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah dan penganjur bersama bagi penganjuran edisi keempat pada tahun 2015, berserentak Malaysia menjadi pengerusi ASEAN ketika itu.
Daripadanya, lahir ramai pembikin filem generasi baharu yang telah melahirkan banyak karya-karya yang mengangkat kisah-kisah Asia Tenggara ke layar.
Selain semua ini, saya percaya ada lagi inisiatif lain berkaitan filem dan sinema digerakkan ASEAN, yang di luar pengetahuan saya. Itu belum termasuk pelbagai usaha pihak lain, yang menampilkan usaha berkaitan perfileman dalam konteks ASEAN – mahupun membawa jenama ASEAN.
Tanpa menafikan apa yang telah dilaksanakan, seiring dengan perkembangan semasa, termasuklah melihat bagaimana sinema Asia Tenggara yang mula menarik perhatian dunia kini, kita sudah seharusnya mula untuk menggandakan usaha dan impaknya. Pelbagai pihak perlu digalakkan untuk turut serta mahupun mula menggerakkan inisiatif berasaskan keupayaan masing-masing.
Selain itu, tidak mahu ia sekadar menjadi acara bersifat sambutan, sekretariat dan anggota ASEAN boleh mula merangka inisiatif jangka masa panjang dalam memanfaatkan sebaiknya filem dalam pelbagai konteks. Ini termasuklah dalam konteks ekonomi kreatif, pemberdayaan masyarakat, malah dalam pembangunan identiti ASEAN yang menjadi salah satu nilai teras dalam gagasan ASEAN kini.
Dalam konteks Malaysia, sebagai permulaan, Kementerian Luar Negeri melalui Pusat Diplomasi Bahasa & Budaya, unit di bawah Institut Diplomasi & Hubungan Luar Negeri (IDFR) berpotensi besar untuk menjalankan kerangka yang berstruktur dalam melestari filem dan sinema dalam sebarang usaha diplomasi yang digerakkan; termasuklah melibatkan hal ini dalam silibus latihan pegawai diplomatik yang dijalankan.
Ini semua memperlihatkan tentang bagaimana filem dan sinema mampu dan berpotensi untuk terus dintegrasi dalam pelbagai platform dan inisiatif rasmi dalam ASEAN.
Mengambil inspirasi dari kemampuan beberapa jenis burung yang boleh melihat dengan sudut pandang yang luas, ditambah kemampuan melihat tinggi dari udara; saya percaya pemerhatian dan pengamatan terhadap filem dan sinema kita juga harus lebih menyeluruh. Meraikan kepelbagaian sudut pandang – termasuk dari perspektif alternatif dan terpinggir – mampu terus memperkayakan identiti rantau Asia Tenggara yang penuh rencam dan pelbagai.
Sepertimana kata seniman Malaysia-Singapura M. Nasir, “melihat dari mata burung, atau dari bawah tempurung, yang mana satu engkau pilih?”.
* Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd. Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.