Kata Sam, dia melalui detik cemas apabila mengalami sesak nafas dan kebas separuh badan sehari sebelum kembali ke lokasi penggambaran .
“Sehari sebelum saya ke set penggambaran, saya pergi ke jimnasium untuk melakukan senaman kerana merasakan badan saya belum lagi bersedia untuk penggambaran.
“Tetapi tidak sangka pula lain jadinya, kebetulan tempat itu tingkap tutup jadi tidak ada ruang untuk udara keluar dan mungkin juga kerana kekurangan oksigen menyebabkan saya tiba-tiba berasa kebas dibahagian kaki.
“Waktu itu saya rasa sangat sukar untuk bernafas dan terus hubungi kru produksi serta Zizan Razak. Mereka datang dan kata mereka muka saya pucat macam mayat,” jelasnya.
Sam ditemui sewaktu sidang media pelancaran filem Polis Evo 2 bertempat di The Gasket Alley, Petaling Jaya, pada Jumaat.
Tambah Sam lagi, kejadian itu menyebabkan dia terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan.
“Mungkin kerana saya tersalah susun atur cara diet dan pemakanan yang diamalkan sehingga badan saya tidak cukup air.
“Sampai sahaja di hospital, saya ditahan di wad kecemasan. Pada waktu itu seluruh badan saya jadi kebas dan tak boleh bergerak.
“Doktor juga maklumkan saya kurang air dan seharusnya dipantau di wad sekurang-kurangnya selama 12 jam.
“Doktor minta saya berehat namun disebabkan saya terfikir masih ada lagi baki penggambaran jadi saya minta kebenaran doktor untuk keluar awal.
“Pihak produksi juga memahami, kalau ikutkan penggambaran sepatutnya berlangsung pada jam 6 pagi tapi mereka membenarkan saya untuk berehat selama 12 jam,” ujarnya.
Selain Sam, filem itu juga turut menggabungkan bintang dari Indonesia dan Singapura antaranya Raline Shah dan Hasnul Rahmat.
Manakala bintang lain yang terlibat adalah Zizan Razak, Erra Fazira, Hairul Azreen, Soffi Jkan, Shafie Naswip dan ramai lagi.
Polis Evo 2 terbitan Astro Shaw, Surya Citra Media (SCM) dan produksi oleh BlackFlag ini bakal menemui penonton menerusi pawagam seluruh negara mulai 22 November depan.