Tiga pengarah teater terhormat dunia akan mementaskan karya masing-masing di Singapura antara Ogos hingga November ini dalam siri pementasan yang digelar sebagai 3 Titans of Theatre (3 Perkasa Teater).

Tiga pengarah itu ialah pengarah terkenal Jepun, Yukio Ninagawa serta dua pengarah dari Britain, Simon McBurney dan Peter Brook.

Pengarah artistik Singapore Repertory Theatre (SRT), Gaurav Kripalani berkata, pementasan teater arahan tiga pengarah itu pada tahun yang sama adalah satu pencapaian bagi Singapura.

"Bagi anda yang mungkin tidak biasa dengan mereka, percayalah, ia satu peluang yang jarang-jarang muncul. Belilah tiket untuk ketiga-tiga persembahan. Anda tidak akan kecewa.

"Harapan saya ialah sesiapa yang menonton pementasan ini akan kagum sama seperti pertama kali saya menyaksikannya," katanya.

Tiga pementasan itu merupakan sebahagian daripada acara sambutan ulang tahun yang ke-20 SRT yang diadakan dengan kerjasama Esplanade — Theatres on the Bay.

Siri pementasan itu dibuka dengan Shun-kin yang diarahkan oleh McBurney bersama kumpulan teater yang beliau asaskan pada 1983, Complicite. Teater itu akan dipentaskan pada 30 dan 31 Ogos ini.

sk

Shun-kin yang diilhamkan daripada karya sasterawan Jepun, Junichiro Tanikazi mengisahkan percintaan antara seorang pemain shamisen yang buta dengan pembantunya.

Teater ini dipersembahkan dalam bahasa Jepun oleh pelakon Jepun dan di bawah arahan McBurney, ia menjanjikan keajaiban seni pentas yang menggabungkan seni boneka bunraku.

Shun-kin akan ke Singapura selepas menamatkan pementasannya di New York, Osaka dan Tokyo pada Julai dan awal Ogos.

Pementasan itu akan disusuli oleh persembahan Musashi arahan Ninagawa yang disifatkan oleh pengkritik sebagai "acara teater yang sangat luar biasa".

m

Ninagawa dan kumpulan teaternya pernah mementaskan Medea di Kuala Lumpur dan Singapura pada awal 1990-an dan ini merupakan kunjungannya yang pertama ke Singapura selepas 21 tahun.

Musashi mengisahkan pertembungan dua wira samurai yang bertarung semula selepas pertarungan mereka yang pertama enam tahun sebelumnya. Kisah itu diangkat daripada pertarungan antara Miyamoto Musashi dengan Sasaki Kojiro pada kurun ke-17.

Kisah legenda samurai itu dilakonkan oleh Tatsuya Fujiwara yang diingati kerana lakonannya sebelum ini dalam filem Death Note. Beliau dibantu antaranya oleh bintang televisyen Jepun, Junpei Mizobata.

s

Projek 3 Perkasa Teater ini ditutup oleh The Suit yang diarahkan oleh Brook. Ia mengisahkan seorang isteri yang ketahuan oleh suaminya mempunyai seorang kekasih gelap yang meninggalkan sehelai jaket semasa berdua-duaan dengan wanita itu. Si suami kemudian memaksa isterinya itu membawa jaket berkenaan ke mana saja dia pergi sebagai satu hukuman.

SRT yang diasaskan pada 1983 merupakan penerbit teater bahasa Inggeris yang terkemuka dan disegani di Asia. Ia pernah menampilkan pelakon terkenal Ian McKellen dalam lakon King Lear dan Seagull yang dipentaskan oleh Royal Shakespeare Company pada 2007. Ia juga terlibat dengan tiga projek teater arahan Sam Mendes selama tiga tahun berturut-turut termasuk Richard III yang dilakonkan oleh Kevin Spacey dua tahun lalu.

* Tiket boleh diperolehi melalui SISTIC di www.sistic.com.sg
* Maklumat lanjut di www.3titansoftheatre.com

t