PELAWAK dari Indonesia, Vicha terkilan dengan tindakan penerbit dan pelakon teater "Korupsi Dewan Semandung", Ogy Ahmad Daud yang menyekat mereka (pelakon) di laman sosial Instagram (IG).
Vicha berkata jika benar pelakon senior itu tidak lari daripada ‘masalah’ seperti yang diucapkan beliau menerusi sosial media, mengapa dia perlu menyekat kesemua barisan pelakon teater "Korupsi Dewan Semandung" di IG.
“Bukan saya sahaja yang terkilan, tetapi semua dalam produksi ini terkejut dengan tindakan Kak Ogy. Adakah ini sikap profesional seorang pelakon senior?
“Menyekat kami daripada akaun IG itu tidak lari dari tanggungjawab? Ya, memang benar beliau masih ada dalam group WhatsApp, tetapi macam tak ada.
“Beliau hanya mendiamkan diri dan tidak memberi respons apabila kru bertanya tentang isu bayaran. Kalau dia faham mereka (tenaga produksi teater) perlu perbelanjaan untuk Aidilfitri kenapa buat macam ini?
"Ini bulan Ramadan, tak baik aniaya orang lain...Kami semua ada 'mulut' untuk disuap” luah Vicha kepada Gempak.
Ogy menerusi laman sosialnya semalam (Sabtu) memberitahu tidak pernah berniat untuk melarikan diri ekoran kemelut bayaran tertunggak produksi.
BACA: "Saya tidak lari, sedang usaha cari dana untuk selesaikan bayaran" - Ogy Ahmad Daud
Katanya, dia sedang mencari dana untuk melunaskan pembayaran yang tertunggak seperti yang didakwa beberapa pelakon dan kru teater terbabit.
Sebelum itu industri hiburan tanah air digemparkan dengan isu kegagalan pihak produksi Ogy Ventures & Network untuk melunaskan baki bayaran barisan pelakon teater Korupsi Dewan Semandung yang dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
Isu tersebut bertambah serius apabila salah seorang pelakon, iaitu Che Mat membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn Cheras, pada Jumaat.
Laporan berkenan dibuat apabila Che Mat berasa tertipu dengan janji Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy untuk melunaskan baki bayaran.
Pengarah teater, Khir Rahman turut berharap agar Ogy akan melunaskan segala pembayaran dalam masa terdekat ini.
BACA: "Saya harap Kak Ogy lunaskan bayaran dalam masa terdekat" - Khir Rahman pula bersuara
Untuk rekod, teater arahan Khir Rahman itu dibintangi Joey Daud, Vicha, Mark Adam, Tauke Jambu, Chiwan, Tapai dan Sharif Zero.
Dalam pada itu, Vicha turut memuat naik mengenai Ogy yang menyekat para pelakon di IGnya dengan menyiar semula luahan daripada Man Raja Lawak yang turut memuat naik perkara sama di laman sosialnya.
"Nape ek #kakogyahmaddaud block semua pelakon-pelakon, kru-kru, musician yang terlibat dalam teater korupsidewansemandung.
"Kalau dia di pihak yang benar..siapa yang jadi mangsa ni? Kami ke dia? Kelakar pun ada gak pasal 2 bulan berdolak dalik...
"Kitaorang sabar dan beri peluang, akhirnya ini yang kami dapat? Baki 10k baik saya bagi kat mereka yg betul-betul tengah susah dari bagi kat akak yang MENYUSAHKAN semua orang #hilangrespekaku!