SEPOTONG video Unboxing Los Angeles Sephora Haul yang memaparkan telatah Elfira Loy berbelanja sakan di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini tular.

Video yang dimuat naik di akaun YouTube milik Elfira, Twink3l TV pada Sabtu lepas itu mendapat kecaman netizen yang menyifatkan pelakon itu membazir.

Malah ada segelintir netizen yang meramal bakal suami Elfira, Sufian Suhaimi perlu lebih berusaha keras bagi memenuhi menanggung hidup mewah Elfira selepas berkahwin.

Paling mencuri tumpuan dalam video tersebut apabila ibu Elfira, Filzah Yusoff membebel kepada pelakon 'Biar Mimpi Sampai Ke Bintang' itu.

"Eh beli-beli tak apa... Duit dia yang habis, bukan duit aunty jadi apa nak risau.

"Kahwin nanti duduk rumah setinggan je," katanya berseloroh.

Video pengakuan itu sehingga kini mencatat lebih 300,000 tontonan dan klip sama turut dikongsikan Elfira dalam akaun Instagramnya.

Bagaimanapun, jelas Elfira barangan solek yang dibeli itu bukan miliknya semata-mata dan ada yang dipesan oleh rakan-rakannya juga.

"Saya pergi ke Los Angeles untuk sebuah acara tetapi sempat membeli-belah.

"Selama sejam di kedai itu, saya berbelanja hingga hampir RM10,000. Tak tahulah kenapa jadi begini tetapi apabila sampai di kaunter pembayaran, saya tak boleh patah balik. Jadi, kita terima sahajalah," katanya.

Elfira bagaimanapun mengakui menyesal berbelanja sedemikian untuk barangan kecantikan tersebut.



Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: YouTube Twink3l TV