Filem Transcendance menyaksikan lakonan pelakon box-office, Johnny Depp sebagai ahli sains yang bakal bersatu dengan komputer.

Depp yang membawa watak Dr. Will Caster, seorang ahli sains yang telah mencipta kod program yang membolehkan manusia kekal hidup di dunia tanpa cacat cela.

Namun semuanya berubah, selepas Dr. Will telah ditembak mati oleh kumpulan anti-teknologi (RIFT) yang tidak bersetuju dengan kajian yang dijalankan oleh saintis tersebut.

Peluru yang berisi bahan kimia itu terkena di bahagian perut Dr. Will dan doktor memberi tempoh lima minggu untuk saintis ini terus hidup.



Ini membuatkan isterinya, Evelyn lakonan Rebecca Hall terpaksa memuatnaik otak Will ke dalam sebuah prototaip komputer.

Komputer tersebut kemudiannya menjadi buruan RIFT untuk dimusnahkan.

Selain Depp dan Hall, filem Transcendance turut dibintangi oleh Paul Bettany, Kate Mara, Cillian Murphy, Clifton Collins Jr., dan Morgan Freeman.

Depp yang telah bertunang dengan Amber Heard baru-baru ini berkata, filem Transcendance adalah sebuah filem tentang membuat pilihan dalam hidup.

“Ini adalah antara filem yang meminta seorang insan untuk membuat pilihan dengan cepat, ketika orang yang dicintai hampir mati dan anda hanya mempunyai satu saat untuk membuat satu keputusan yang aneh – iaitu memuatnaik otaknya ke dalam komputer.

"Pelik, tapi kerana cinta, kita akan lakukan apa saja” katanya ketika menghadiri tayangan perdana filem Transcendance di Beijing, China awal April lalu.

Filem sekuel Jack Sparrow lakonan Depp dalam Pirates of Caribbean 5 akan ditayangkan pada 2016 nanti.

Transcendence yang merupakan filem arahan jurukamera dan sutradara filem, Wally Pfister sudah pun berada di panggung wayang seluruh Malaysia sejak 17 April.

Pfister juga terkenal dengan hasil kerjanya di dalam filem Christopher Nolan dan pernah memenangi Sinematografi Terbaik di Anugerah Akademi untuk filem Inception pada tahun 2010.