KUALA PILAH: Jenazah penyanyi terkenal era 80-an, Ibnor Riza Ibrahim, 62, selamat dikebumikan pada jam 10.40 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasau, Tengkek di sini pada Ahad.

Sebelum itu, jenazah penyanyi Mimpi Tak Sudah itu tiba di Masjid Tunku Alif Hussein Al-Amin Kariah Tengkek di sini jam 8.30 malam untuk disolatkan.

Lebih 200 ahli keluarga, saudara mara, rakan selebriti dan kenalan hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Antara rakan artis yang hadir ialah, Datuk Hattan, Datuk S Atan, Nursheila Amin, Zalifah Ibrahim, Ameng Spring dan Mat Over.

Allahyarham meninggalkan dua isteri iaitu isteri pertama Norhayati Mohamad Nor, 58, dan isteri kedua Serimah Sulaiman, 51, serta dua cahaya mata dan empat cucu.

Norhayati yang tinggal di Brunei berkata, dia bersyukur ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dia bersama madu dan ahli keluarga lain telah pun berkumpul di hospital.

"Sepanjang 20 hari ada di Semenanjung, saya juga telah mengambil alih tugas menjaga arwah daripada madu dan rutin kami untuk jaganya bergilir-gilir.

"Pada pertengahan bulan lalu Allahyarham mula demam tak sembuh-sembuh sehinggalah pada 2 Disember dia ditidurkan dan pada Jumaat lalu doktor sahkan sel otaknya telah mati," katanya ketika ditemui pemberita.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, Allahyarham telah dua kali menjalani pembedahan namun keadaannya tidak menunjukkan perubahan.

Disebabkan itu kata Norhayati, dia telah merancang menjaga Allahyarham dalam tempoh lebih lama kerana bimbang sebarang kemungkinan akan berlaku.

"Tapi sepanjang tempoh sakit itu, dia memang kuat semangat walaupun doktor telah maklumkan pada 29 Jun lalu, dia hanya ada enam bulan lagi untuk hidup.

"Tapi arwah ada beritahu Oktober lalu ketika dia hadir persembahan di Kota Kinabalu mungkin menjadi hari lahir terakhir yang akan disambutnya," katanya.

Penyanyi yang cukup hits menerusi lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 petang di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur selepas dua minggu bertarung nyawa di hospital akibat kanser limfoma.

Beliau dikatakan mula mengetahui tentang kanser dihidapinya itu pada Februari tahun ini, yang sudah memasuki tahap keempat, apabila doktor melakukan pemeriksaan susulan kerana terdapat bengkak di bahagian leher.

Karier seni Ibnor Riza, yang merupakan seorang kakitangan awam, mula menyinar apabila beliau menyertai Bintang RTM pada tahun 1984. Namun beliau benar-benar fokus kepada bidang tersebut pada tahun 1993.

Sepanjang 23 tahun beliau mewarnai dunia seni, Ibnor Riza telah menghasilkan 13 album dan pernah menerima anugerah platinum selepas album The Best of Ibnor Riza terjual sebanyak 25,000 unit.

- Sinar Harian