Jason Lim, pengarah dan penerbit filem tempatan yang sedang menempa nama, telah menerbitkan sebuah filem 15-minit yang menyentuh perasaan bertajuk "Are You Blind?", untuk mengetengahkan nasib golongan buta yang ramai di Kuala Lumpur.

Dengan menggunakan tenaga kru dan pelakon sebanyak 15 orang, peminat filem berusia 28 tahun ini memulakan penggambaran pada awal Julai dan menyiapkan projek ini dalam masa sebulan.

Ditanya kenapa memilih subjek ini, Lim berkata beliau sedih dengan kejahilan dan sikap tidak ambil peduli orang ramai terhadap orang buta di negara ini.

"Kita tinggal dalam sebuah masyarakat yang berasa curiga dengan orang buta di jalanan, yang sesetengahnya hanya cuba mencari rezeki sendiri, dengan menjual kertas tisu," katanya.

"Are You Blind?" menggambarkan seorang buta yang cuba hidup berdikari dan terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran ketika cuba memasuki bandar menggunakan pengangkutan awam dan ke kompleks membeli belah dengan bantuan seekor anjing pengiring.

Dalam filem itu, Lim menunjukkan kejahilan masyarakat mengenai anjing pengiring yang digunakan orang buta di Malaysia.


Trailer filem pendek Are You Blind?


Ditanya tentang proses penggambaran itu, beliau berkata banyak cabaran yang dihadapinya.

"Kalau mudah, sudah tentu orang lain telah melakukannya. Aspek sukar itulah yang membuatkan ia hebat. Setiap langkah merupakan cabaran, setiap adegan amat rumit dan berisiko.

"Yang paling mencabar bagi saya ialah ketika memilih momen yang bertepatan dalam menunjukkan situasi sebenar kehidupan apabila seorang lelaki buta cuma menaiki bas dengan anjing pengiringnya," katanya sambil menjelaskan bahawa filem beliau itu akan dipertonton pada tayangan khas di Golden Screen Cinemas, Pavilion di sini malam Khamis.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kru dan pelakon yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang, beliau berkata apabila setiap adegan berisiko itu siap dan dirakamkan dengan baik dalam filem, "momen-momen sebegini amat tidak ternilai harganya".

Ditanya apa yang diharapkan beliau daripada filem itu, Lim berkata: "Saya tidak mengharapkan sebuah filem berdurasi 15 minit yang mengetengahkan nasib seorang kurang upaya boleh membantu merubah dalam sekelip mata kesedaran sivik rakyat Malaysia.

"Tetapi dengan memberi peluang filem ini dan filem-filem saya sebelum ini menjadi medium untuk ditayangkan kepada dunia, saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia menyedari kebenaran yang mengaibkan yang bahawa kebanyakan kita hidup dalam penafian mengenai kewujudan orang kurang upaya dalam kalangan kita.

Tidak kiralah apa juga agama, bangsa atau budaya kita, tetapi jika kita tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dalam diri kita, apakah harga diri kita sebenarnya?"