LAMAN sosial media dibanjiri banyak kisah manis mengenai Rudy Imran Shamsuddin sebaik berita mengenai pemergiannya tersebar tengah hari semalam.

Satu demi satu pengalaman dan momen-momen indah sepanjang bersahabat dengannya dikongsi ramai kenalannya.

Terlalu banyak kebahagiaan dan kebaikan yang sudah dikongsi beliau rupanya sepanjang hayatnya.

Maka, tidak hairanlah kenapa ramai sahabat berhimpun di kediaman keluarga beliau di Semenyih, Selangor semalam untuk memberi penghormatan terakhir.

Bahkan, ketika solat jenazah di Masjid Raja Muda Musa di pekan Semenyih sejurus selepas solat asar, mereka yang menziarahi Rudy Imran tidak melepaskan peluang menyertainya.

Membawa sehingga ke liang lahad, perjalanan akhir Rudy Imran juga ditemani rakan-rakan yang menyayangi beliau.

Sebak dan pilu benar aku wahai sahabat. Air mata menitis tanpa disedari.

Pemergian kau ke rahmatullah benar-benar menjentik emosi aku mengenangkan bahawa asbab pada setiap satu kebaikan yang dilakukan akan dilihat di hari akhir seseorang itu di muka bumi. 

Itulah yang aku lihat di depan mata.

Beruntung kau Rudy, ramai yang menyayangi kau.

Doa tidak putus-putus dipanjatkan mengiringi perjalananmu ke alam barzakh.

Demikian juga dengan urusan perjalananmu ke negeri abadi sangatlah mudah dan lancar wahai Rudy Imran.

Kau menutup usia sekitar pukul 11.30 pagi dan menjelang 5.30 petang segala urusan pengebumian selesai.

Hilang sudah lelahmu di dunia ini sahabat.

Kami semua sedia maklum, sejak lebih tiga tahun lalu, kau menahan sakit. Namun, ada masanya kau cuba menyembunyikan sakit itu, enggan rakan-rakan bimbang dan bersedih.

Kami sangat memahaminya.

Kini, kau pergi membawa seluruh kenangan yang pernah kita sama-sama kumpul sepanjang lebih 25 tahun kita bersahabat.

Kau dan aku sebaya, bahkan, kerjaya kita sebagai wartawan juga bermula pada tahun yang sama iaitu 1994.

Kita berdua bersama rakan-rakan lain sentiasa bersaing di gelanggang kewartawanan. Kita juga merencana masa depan mengikut kemampuan kita.

Alhamdulillah, kita punya kerjaya yang baik dan yang istimewanya, kita juga berjiran.

Aku masih ingat semasa kita sama-sama kelam-kabut ke sebuah pusat beli-belah semata-mata untuk membeli apartmen yang dijual selepas didesak oleh sahabat kita, Rouslan Mokhtar (Abang Lan) yang bersungguh-sungguh meyakinkan kita bahawa pelaburan itu adalah berbaloi.

Kita telah buat keputusan yang tepat, memiliki rumah pertama di Kuala Lumpur. Alhamdulillah.

Dalam beberapa aspek, kau mendahului aku termasuk membuat keputusan melanjutkan pelajaran secara luar kampus di UiTM dalam bidang komunikasi massa.

Kau awal beberapa tahun berbanding aku yang sedikit ketinggalan.

Rudy Imran, kita telah merentasi sebuah perjalanan yang cukup panjang.

Aku berterima kasih kepada Allah kerana menemukan seorang sahabat yang sangat ceria, penuh falsafah, tinggi cita-cita dan sentiasa berada di sisi ketika teman-teman memerlukan.

Ketika artikel ini ditulis sekitar pukul 11 malam Khamis iaitu beberapa jam selepas kau tiba di tempat  berehat abadi, aku masih sebak.

Pelbagai rasa bercampur baur ketika penulisan ini sedang dilakukan.

Dalam fikiran aku tertanya-tanya, perlukah aku menulis belasungkawa ini? Sampaikah hati aku untuk melakukannya pada seorang sahabat lama?

Dan yang paling membuatkan aku benar-benar rasa sedih ialah mampukah untuk aku merujuk dan menyapa sahabat aku ini dengan panggilan Allahyarham atau arwah di awal nama beliau?

Jika ditanya secara jujurnya, aku benar-benar tidak mampu dan kerana itu tidak ada walau sekali sapaan itu aku tuliskan di dalam artikel ini.

Rudy Imran, damailah kau di sana. Kami pasti akan menyusul satu hari nanti. Insya-Allah kita berjumpa di pintu syurga kelak.

Sahabat, kau telah tinggalkan 1,001 kemanisan dalam hidup kami. Terima kasih di atas segala-galanya.

Doa kami semoga Yang Maha Esa menempatkan sahabat kami Rudy Imran di sisi para solihin.

Kami menyayangi kau Rudy Imran.

Al-Fatihah…