Dalam masa sehari akaun Instagram Lara Alana dibuka kepada umum, si comel ini telah mempunyai lebih 100 ribu pengikut.

Puteri sulung kepada pasangan pelakon Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya itu, sebelum in hanya memperolehi 4 pengikut sahaja.

Namun selepas ia dibuka kepada umum pada hari Jumaat, ia terus meningkat kepada 40 ribu pengikut sehingga pagi Sabtu, dan ia terus meningkat sehingga saat berita ini ditulis.



Beberapa keping foto daripada jurugambar rasmi @peeksbymin + @prettypeektures yang dikongsi menerusi akaun Instagram Lara.Alana

Awal Ashaari ketika ditemui pada Majlis Cukur Jambul Lara Alana di Sime Darby Convention Centre berkata, dia tidak menyangka akan mendapat pengikut seramai itu dalam masa tidak sampai 24 jam.

“Terkejut juga la, bila saya tukar daripada ‘private’ ke ‘public’ ia terus mendapat beribu-ribu pengikut dan ia bertambah dari semasa ke semasa.

“Lebih mengejutkan apabila tidak ada sebarang urusan jual beli barang di akaun Lara. Saya juga tidak menyangka ramai yang sukakan konsep Instagram Lara,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Awal lagi, akaun Lara sebelum ini diprivasikan kerana dia mahu memikirkan konsep untuk Instagram anaknya itu.

“Akhirnya saya terfikir, kenapa tidak kita kongsikan sahaja detik-detik sebelum kelahiran sehingga saat Lara dilahirkan.

“Ia akan menjadi seperti Biografi dan kenang-kenangan kepada Lara apabila dia dewasa nanti,” katanya yang sudah membuka akaun Instagram Lara.Alana sejak Jun lalu.

Selain itu Awal menambah, Majlis Cukur Jambul yang diadakan hari ini juga turut disiarkan secara langsung menerusi akaun Lara.