KUALA LUMPUR: Kata orang, tak sah beraya kalau tak beli baju baharu.

Akan tetapi bagi komposer dan penerbit, Edrie Hashim, Aidilfitri kali ini sewajarnya diraikan dengan lebih bermakna menerusi penerokaan kepada teknologi baharu!

“Sudah dua kali kita beraya dalam era norma baharu, kita tetap meraikannya dengan tradisi yang sama.

“Jadi, saya berpandangan raya kali ini nak bawa kelainan dengan menjadikan lagu raya terbitan Neogendang dalam bentuk NFT,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Penerbitan koleksi NFT ‘Ini Lagu Hari Raya’ adalah kerjasama Edrie Hashim bersama Kelab NFT Malaysia

NFT ‘Ini Lagu Hari Raya’ bakal berada di platform OpenSea.io bermula 30 April ini.

Bagi anda yang ingin memilikinya dengan lebih awal, ikuti telegram Malaysia NFT Club sekarang!


Apa itu NFT?

NFT atau Non Fungible Token merupakan data pemilikan aset digital yang disandarkan menerusi teknologi blockchain.

Sifatnya unik menjadikan setiap aset yang telah ditempa (mint) ke dalam sistem blockchain tidak boleh ditukar ganti dengan yang lain.

Jadi, setiap aset NFT akan dilengkapi dengan maklumat pemilik serta maklumat lain seperti harga, masa ia ditempa (mint) dan lain-lain.

Dalam perkembangan sama, Kelab NFT Malaysia diwujudkan sebagai salah sebuah badan bukan kerajaan yang berfungsi untuk menggabungkan semua pemain industri serta pencipta kandungan di seluruh negara.

Kelab ini telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dengan iltizam untuk meningkatkan penglibatan anak Malaysia dalam dunia metaverse.


Bagaimana NFT ‘Ini Lagu Hari Raya’ berfungsi?

Koleksi NFT ‘Ini Lagu Hari Raya’ bukan semata-mata aset digital.

Ia datang dengan tiga utiliti atau kelebihan kepada pemilik NFT tersebut.

Paling utama, setiap pemilik NFT akan mendapat akses eksklusif bersama Edrie Hashim dalam menerokai perniagaan dalam bidang muzik.

Pada masa sama, bagi anda yang bercita-cita untuk mencipta lagu atau menulis lirik, ini peluang untuk bekerja bersama komposer ternama Malaysia yang telah banyak menghasilkan karya besar Malaysia.


Kenapa anda perlu memilikinya?

Ini merupakan detik bersejarah buat industri muzik Malaysia terutamanya dalam penghasilan lagu sempena sambutan Aidifitri tahun ini.

Tidak pernah lagi, lagu raya diterbitkan dalam bentuk NFT yang memberi peluang kepada peminat, mahupun pengumpul aset digital dalam bentuk NFT untuk memilikinya di samping menerima manfaat yang telah diumumkan pengkarya terbabit.