PUTRAJAYA: Sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia serta cuti sekolah akan datang, Astro menawarkan pelbagai kandungan menarik untuk dinikmati oleh para pelanggan.

Dua saluran percuma #DemiNegaraku dan Ultraman tersedia untuk pelanggan Astro masing-masing bermula 20 Ogos hingga 17 September, dan 20 Ogos hingga 30 September depan.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Astro menerusi kempen #DemiNegaraku dan Home of Kids yang dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil di sini pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata sebagai jenama tempatan, Astro menyeru semua rakyat Malaysia untuk meraikan wira, wirawati sukan serta generasi pemimpin masa depan negara.

"Tujuan keseluruhan kempen #DemiNegaraku dan Home of Kids adalah untuk mempamerkan bakat kanak-kanak generasi akan datang, sama ada dalam bidang 'breakdancing', memanah atau apa sahaja.

"Jadi kami telah membuat empat video pendek untuk mendidik, memberi inspirasi dan menonjolkan bakat-bakat serta atlet-atlet muda Malaysia.

"Selain itu, kami juga melancarkan program-program kanak-kanak (Home of Kids). Jadi dengan kandungan istimewa yang kami miliki seperti Ultraman, Cocomelon dan pelbagai siri serta program untuk kanak-kanak," katanya di sini.

Selain itu, Euan berkata sebagai Home of Kids, Astro komited dalam menarik ramai kanak-kanak Malaysia dengan tajuk-tajuk tempatan untuk dinikmati, selain memaparkan bakat-bakat tempatan popular serta kisah-kisah relevan.

.

Menariknya, beliau menambah selain kandungan kanak-kanak yang disegarkan semula, Astro turut menawarkan pengalaman hiburan lebih selamat dengan ciri Kids Friendly Profile.

"Menerusi pengenalan ciri tersebut, kanak-kanak tidak boleh menukar ke profil dewasa kerana ia dilindungi PIN keselamatan empat digit yang ditetapkan oleh ibu bapa.

Kids Friendly Profile membawakan pengalaman tanpa kerisauan untuk ibu bapa kerana mereka boleh mengawal apa yang diakses oleh anak-anak mereka,” ujarnya.

#DemiNegaraku yang disiarkan di Saluran 100 menawarkan kisah rakyat Malaysia dan hiburan yang penuh dengan inspirasi termasuk dokumentari, filem, rancangan kanak-kanak serta kandungan baharu yang diinspirasikan oleh hero-hero sukan negara.

Ia antaranya Dendam Hantu Latah 2: Roh YB Lama; program permainan Family Feud Edisi Khas Merdeka (Bahasa Inggeris, Melayu dan Tamil); serta dokumentari seperti The Guardian dan Kembara Chef Wan Laluan Sutera.  

Sementara, Ultraman yang disiarkan menerusi Saluran 400 pula menawarkan siri dan filem terbaik yang diadaptasi daripada hero popular.

Ini termasuk Ultraman Blazar, Ultraman Decker, Ultraman Decker Finale: Journey to Beyond, serta Ultra Galaxy Fight: The Destined Crossroad.

Kedua-dua saluran tersebut boleh didapati menerusi televisyen, Astro GO dan On Demand.