Filem ILY From 38,000ft (I Love You From 38,000 feet) yang merupakan salah satu filem lebaran Indonesia tahun ini mengenang salah satu pramugari AirAsia pesawat QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada 2014.

Memetik portal Republika.co.id, filem ini berinspirasikan mesej 'I Love You From 38,000ft yang ditulis oleh pramugari Khairunnisa Haidar Fauzi.

Mesej berkenaan dimuat naik di laman Instagramnya dua minggu sebelum kejadian tragis itu.

BACA: Filem raya: Indonesia (5) vs Malaysia (1)

Namun produser filem berkenaan Wicky V Olindo menjelaskan filem ini hanya sebuah fiksyen kerana tidak mahu ia berdasarkan kisah Khairunnisa, walaupun mempunyai restu kedua orang tuanya.

"Kami tidak ingin membuat film tentang kesedihan atau musibah. Kami juga tak ingin menjual air mata dari musibah orang lain," kata Wicky.


Filem ini mengisahkan seorang gadis muda bernama Aletta (Michelle Ziudith) yang terbang ke Bali untuk menenangkan dirinya daripada pelbagai permasalahan hidupnya.

Benih cinta kemudiannya bersemi ketika ia berjumpa dengan seorang pemuda bernama Arga (Rizky Nazar) yang bekerja dalam bidang media.

Namun pertemuan di lapangan terbang merupakan perjumpaan terakhir mereka.

Filem ILY From 38,000ft mula ditayangkan di Indonesia pada Sabtu.