Satu perjumpaan melibatkan ahli-ahli persatuan industri filem bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia akan diadakan esok berhubung penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28.

Menterinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata pertemuan itu bertujuan untuk memberi penjelasan kepada penggiat seni berkenaan pendirian kementeriannya sebelum ini.

"Esok cuma breakfast talk antara saya dengan penggiat seni di mana ia lebih kepada perjumpaan untuk saya jelaskan asas-asas keputusan kementerian yang telah dibuat sebelum ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Ditanya sekiranya mengubah keputusan yang dibuat KKMM sebelum ini, jawab beliau: "Saya akan dengar dulu apa pandangan mereka (penggiat seni) berhubung perkara ini.

BACA: FFM28: Pembahagian kategori utama mengikut bahasa dipalit kontroversi

BACA: Festival Filem Malaysia ke-28 perkenal dua kategori baharu

BACA: Industri filem negara perlu tinggalkan isu remeh untuk berjaya

BACA: FDAM umum tidak lagi bersama FFM

BACA: FFM28: 'Pembahagian kategori mengikut bahasa bukan satu diskriminasi' - FDAM

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Othman Hafsham yang memaklumkan perkara berkenaan kepada Astro AWANI hari ini berkata pertemuan itu akan diadakan pukul 8 pagi di sebuah hotel di ibu negara.

"Perjumpaan ini bukan hanya melibatkan FDAM sahaja tetapi melibatkan semua persatuan industri (seni) bersama Menteri.

"Ya, kita akan bincangkan berkenaan kedudukan FFM28 ... mungkin Menteri akan buat pengumuman status terkini penganjuran FFM28," katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi turut mengesahkan perjumpaan dengan Salleh Said.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi kenyataan lanjut berhubung penganjuran FFM28.

"Betul, esok ada perjumpaan dengan Datuk Seri Salleh. Kita tunggu apa keputusan mesyuarat esok," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sebelum ini, Datuk Seri Salleh mengumumkan penyertaan untuk kategori Filem Terbaik pada FFM28 dibuka kepada semua penggiat seni tanpa mengira bahasa.

Berikutan keputusan itu, tiga kategori dalam kumpulan Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada FFM28 dimansuhkan.

Kontroversi tercetus apabila penganjur FFM28 iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) memperkenalkan pengasingan karya Filem Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia yang mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk ahli politik dan tokoh korporat.

FFM28 bakal berlangsung selama tiga hari bermula 1 September dengan acara kemuncaknya di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre di ibu negara pada 3 September.