KUALA LUMPUR: Mugunghwa kkoci pieot seumnida ...

Frasa popular ini bakal bermain-main di minda peminat-peminat siri ikonik Korea, Squid Game

Memasuki musim kedua, Squid Game 2 bakal ditayangkan di Neflix hari ini selepas mengambil masa tiga tahun untuk bertemu peminat.

Memetik portal Los Angeles Times, pengarahnya, Hwang Dong-hyuk mencipta siri kali ini dengan menumpukan kepada watak utama yang mahu menumpaskan dalang di sebalik permainan sadis dan menamatkan permainan itu buat selamanya. 

Menampilkan barisan pelakon dari musim pertama termasuk Lee Jung-jae sebagai watak utama, Gi-hun, edisi terbaharu ini turut membariskan wajah-wajah baru Lee Byung-hun, Yim Si-wan dan Kang Ha-neul.

Sebelum menonton, ini adalah soroton peristiwa yang berlaku bagi musim pertama: 

Edisi pertama yang ditayangkan pada tahun 2021, mengambil nama daripada permainan kanak-kanak yang dimainkan di atas gelanggang menyerupai sotong.

Siri itu menampilkan 456 peserta yang dibebani hutang, dikumpulkan untuk bersaing dalam permainan kanak-kanak dan akhirnya bertemu maut. 

Permainan itu wujud kerana peserta dianggap mempunyai masa depan yang suram dan mereka perlu ‘dilenyapkan’.

Peserta yang melanggar peraturan atau kalah dalam setiap permainan akan dibunuh sehingga hanya seorang peserta yang tinggal.

Peserta  terakhir menjadi pemenang hadiah wang tunai 45.6 juta Won.

Squid Game musim pertama mendapat pujian peminat seluruh dunia terutamanya apabila ia dipadatkan dengan mesej tersirat - iaitu kritikan terhadap eksploitasi ekonomi dan masyarakat kapitalis melalui penceritaan pelbagai latar belakang peserta yang dilayan mengikut taraf ekonomi mereka.

Setakat hari ini, siri pertama yang masih ditayangkan di Neflix telah ditonton lebih 330 juta orang.