Bekas bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Farah Diana Anuar telah selamat melahirkan anak keduanya, iaitu seorang bayi perempuan pada pagi semalam.
Bayi perempuan dengan berat 3.45 kilogram itu telah dilahirkan secara normal sekitar jam 9.31 pagi di Island Hospital, Pulau Pinang.
Ini adalah anak perempuan kedua hasil perkongsian hidup Farah dengan suaminya, Johan Johari yang dikahwini sejak 15 Julai 2011.
Anak pertama mereka, Elsa Johan telah dilahirkan pada 15 Ogos 2012.
Menurut Farah dia bersyukur semuanya selamat walaupun terpaksa berdepan dengan beberapa hal tak terduga ketika proses bersalin.
Tambah Farah, nama anak keduanya itu belum diberikan lagi dan mungkin pada hari ketujuh barulah dia dan suaminya memberi nama kepada bayi tersebut.
Antara rakan selebriti yang telah pun melawat Farah dan bayinya itu ialah Marsha Milan Londoh.
Farah yang terkenal dengan trademark ‘Breep Breep’ adalah pemenang tempat keempat AF2 dan kemudiannya mencipta nama sebagai penyanyi sebelum aktif sebagai pengacara TV.