TANGGAL 2 Julai 2022 menjadi tarikh bermakna buat pelawak Danial Zaini, 29, selepas sah menjadi suami kepada pilihan hatinya Yasmine Umira Yahya, pada pagi Sabtu.

Dengan hanya sekali lafaz sahaja, Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 29, yang juga merupakan penyampai radio nombor satu negara, Era FM bergelar suami kepada Yasmine, 29, dalam majlis penuh istiadat dan meriah di Timorra Avenue, Kuantan, tepat pukul 10 pagi.

Dengan mengenakan busana akad nikah hasil sentuhan Amzar Atelier dan busana songket mewah daripada Man Kajang, pasangan itu telah dinikahkan oleh bapa kandung pengantin perempuan dengan disaksikan hampir 100 tetamu yang hadir termasuk ahli keluarga,rakan artis dan rakan-rakan terdekat.

Gadis kelahiran Kuantan, Pahang itu menerima mas kahwin RM22.50 dan wang hantaran berjumlah RM17, 777.77 seutas rantai emas dan sebentuk cincin serta menerima tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang daripada pihak pengantin lelaki.

Majlis turut diberi kejutan dengan pelancaran lagu terbaharu Danial Zaini yang bertajuk “HATI” yang ditulis khas oleh Danial sendiri.

Danial melahirkan rasa syukur di atas urusan yang dipermudahkan selepas menempuhi beberapa ujian dalam tempoh pertunangannya.

“Sejujurnya ini adalah pengalaman yang indah dan yang sangat dinantikan. Banyak rakan artis terkejut dan tak menyangka saya sudah bergelar suami hari ini.

“Pelbagai dugaan telah kami hadapi ketika tempoh pertunangan, tapi Alhamdulillah kami berjaya hadapi dugaan yang mendatang.

“Saya sangat terharu dengan sokongan mereka yang sudi menjadikan majlis pada hari ini sangat meriah,” tambah raja sehari itu.

Pasangan merpati dua sejoli ini mengikat tali pertunangan pada 25 Disember 2021, namun memutuskan untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ramai demi menjaga privasi Yasmine serta keluarga.
-Gempak