PERSONALITI media sosial, model dan pelakon Brittany Renner sudah genap tujuh bulan memeluk agama Islam. Satu keputusan mendalam yang diambilnya dalam fasa kehidupan.


Ringkasan AI
  • Brittany Renner telah memeluk agama Islam selama tujuh bulan dan kini lebih istiqamah dalam memegang ajaran Islam.
  • Dia berkongsi keterujaannya menyambut Ramadan pertama kali dan merasakan hidupnya bertambah baik sejak memeluk Islam.
  • Sebelum terkenal di media sosial, Brittany pernah bekerja sebagai jurujual dan jurulatih zumba, serta pernah menjalin hubungan dengan pemain NBA, P.J. Washington, dan mempunyai seorang anak.


Biarpun pada mulanya ramai yang meragui penghijrahannya, mendakwa ia semata-mata untuk konten media sosial serta untuk menarik perhatian, namun ternyata semua itu tidak benar.

Dia kini lebih istiqamah dan terus memegang ajaran Islam dengan baik dan kelihatan selesa mengenakan hijab sebagai pakaian harian.

Baru-baru ini ibu kepada seorang cahaya mata ini berkongsi di Instagram mengenai keterujaannya menyambut bulan Ramadan yang mulia buat pertama kali.

“Hidup saya telah bertambah baik dalam setiap aspek sejak Allah mengurniakan saya Islam dan saya mengucapkan syahadah.

"Betapa besarnya nikmat dapat hidup dan sihat untuk merasai Ramadan pertama saya,” kongsinya.

Sebelum ini, Brittany pernah berkongsi bagaimana dia boleh tergerak hati untuk mengenali Islam dan proses menerima hidayah.

“Tidak, saya tidak memilih Islam. Saya belajar yang tuhan memilih siapa yang dikehendakinya untuk mendapat hidayah. Ramai orang konon-konon kenal saya, tahu apa yang saya buat.

“Saya mencari kebenaran sepanjang hidup, mencari panduan. Melihat kepada bintang, astrologi, numerologi tetapi kebenaran sebenarnya adalah panduan daripada tuhan.

“Jika kita tidak hidup kerana tuhan kita hidup untuk orang lain. Hidup saya telah menjadi refleksi kepada perkara itu,” kongsinya.

Sebelum mencipta nama di media sosial dan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai jenama terkenal, Brittany pernah bekerja sebagai jurujual serta jurulatih zumba.

Selain dikenali sebagai personaliti media sosial, dia juga pernah muncul sebagai pelakon jemputan dalam drama bersiri The Haves and the Have Nots serta American Soul.

Untuk makluman, wanita berusia 32 tahun ini sebelum ini pernah menjalin hubungan dengan pemain NBA terkenal, P.J. Washington. Hasil hubungan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak yang kini berusia empat tahun. -Media Hiburan