Boyband 90an, Five, kembali bersatu untuk konsert jelajah

Agensi
Mac 2, 2025 15:45 MYT
Five dikenali dengan lagu When The Lights Go Out, Slam Dunk Da Funk, Keep On Movin', Don't Wanna Let You Go dan Until The Time Is Through. - Foto Instagram/@itsfiveofficial
BOYBAND terkenal 90an, Five, akan memulakan konsert jelajah sempena kemunculan semula terbesar mereka selepas 25 tahun, tidak lama lagi.
Kesemua lima anggota kumpulan dari Britain itu, terdiri daripada Abz Love, J Brown, Ritchie Neville, Scott Robinson dan Sean Conlon, akan turut serta dalam projek reunion tersebut selepas berpecah pada September 2001.
Jelajah Keep On Movin' 2025 akan bermula di Brighton, England pada 31 Oktober, disusuli dengan Bournemouth, Cardiff, Nottingham, Liverpool, Manchester, Leeds, Birmingham, Newcastle, Aberdeen dan Glasgow, dan berakhir di O2 Arena, London.
"Perancangan ini sudah lama dan sekarang masa yang sesuai - 25 tahun dan kami sangat bersedia untuk melakukannya.
"Kembali bersama sebagai satu kumpulan adalah sangat istimewa dan saya mewakili rakan-rakan, mengakui kami tidak sabar untuk melakukannya sekali lagi," kata Scott.
"Kami benar-benar tidak sabar untuk kembali ke pentas bersama dan bertemu peminat," kata Abz pula.
Spekulasi mengenai kumpulan itu kembali bersama mula diperkatakan awal minggu ini apabila Abz mengesahkan dia telah menyertai Five semula.
Sepanjang karier mereka, kumpulan itu mencapai jualan album melebihi 20 juta unit, 11 lagu dalam carta 10 teratas, termasuk tiga mencapai kedudukan pertama, dan empat album termasuk album debut mereka yang menduduki tangga teratas carta.
Single sulung mereka, Slam Dunk Da Funk, menduduki tempat ke-10 dalam carta di United Kingdom tetapi single kedua, When The Lights Go Out, berjaya melonjakkan nama mereka di seluruh dunia.
Selain itu, mereka turut dikenali dengan lagu-lagu popular seperti Keep On Movin', Everybody Get Up, Don't Wanna Let You Go dan Until The Time Is Through.
#five #boyband #United Kingdom
;