'Bisikan syaitan lebih halus di hati' - Ibu minta Aliff dan Bella muhasabah diri?
Biarpun tidak menyatakan secara jelas, Siti Hafizah selesa bermain madah dan kata-kata di media sosial.
Gempak
Fri Mar 01 2019
Siti Hafizah (kiri) tampil menyatakan pandangan terhadap kontroversi melibatkan anak dan menantunya sejak beberapa hari lalu.
IBU kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, Siti Hafizah Sheikh Mohamad tampil menyatakan pandangan terhadap kontroversi yang tercetus sejak beberapa hari lalu.
Biarpun tidak menyatakan secara jelas, Siti Hafizah selesa bermain madah dan kata-kata di media sosial.
"Fikir-fikirkanlah dan bermuhasabah diri kerana niat tidak akan dapat menghalalkan cara.
"Terlajak perahu boleh ditarik balik tapi terlajak kata sangat buruk padahnya.
"Bisikan syaitan sangat halus di hati dan minda manusia, hanya iman yang dapat menyelamatkan kita," tulisnya beserta tanda pagar #EveryActionsThereWillBeConsequences dan #BerdiamItuLebihMuliaDariBerkataKata.
Kapsyen itu merujuk kepada kata-kata yang tulisnya dalam bentuk bergambar.
"Jikalau kamu menemukan aib yang ada dalam diri seseorang maka galilah aib yang ada pada dirimu sendiri.
"Karena belum tentu dirimu memiliki aib lebih sedikit dari orang tersebut," tulisnya.
Rabu lalu kecoh apabila isteri Aliff, Bella Astillah mendedahkan kecurangan suaminya bersama seorang pelakon wanita, Oktavia Manrose di menerusi Instagram.
Bella berkongsi paparan skrin perbualan bersama seorang wanita yang menjadi saksi melihat Aliff dan Oktavia di sebuah kelab malam di ibukota.
Oktavia kemudiannya tampil menjelaskan situasi dan memohon maaf atas ketegangan yang tercetus.
Ini bukanlah kali pertama Aliff menimbulkan konflik dalam rumah tangganya kerana penyanyi lagu Sayang Sayang itu di'kantoi' keluar bersama pelakon, Afifah Nasir, ketika Bella sedang berpantang dua tahun lalu.