Selepas saya menonton The Journey pada 3 Februari lalu, rakan-rakan bertanya, “best tak?”. Saya hanya menjawab, “pergilah tengok”.

Dan selepas Awani 745 pada Khamis lalu menyiarkan berita filem ini memungut kutipan RM10.7juta setakat 19 Februari, saya diajukan soalan yang serupa tetapi dalam nada penegasan.

Best sangat ke The Journey?”.

Ditayangkan di pawagam serata Malaysia sejak 30 Januari lalu, sejujurnya tiada yang luar biasa mengenai filem ini.

Pengembaraan The JourneyIa mengisahkan Uncle Chuan yang berpegang teguh pada adat berasa kecewa apabila anak tunggalnya, Bee ingin berkahwin dengan jejaka Inggeris, Benji selepas sedekad menuntut di United Kingdom.

Begitupun, kerana kasih seorang bapa, Chuan bersetuju tetapi dengan syarat. Mereka harus berkompromi dengan keinginannya untuk mengadakan majlis mengikut tradisi.

Malah cara mengundang tetamu juga konvensional dan konservatif iaitu mereka sendiri harus menyerahkan kad jemputan tidak kira di mana lokasinya.

Lalu bermulalah perjalanan Chuan dan bakal menantunya merantau ke pelosok tempat. Tanpa mereka sedar, penjelajahan itu bukan sekadar misi jemputan ke kenduri kahwin, sebaliknya perjalanan mereka mengenal diri dan satu sama lain.

‘Pengembaraan’ The Journey nampaknya memahatkan satu mercu tanda baru untuk industri filem Malaysia.

Ia bukan saja mencatat rekod sebagai filem berbahasa Cina tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah.

Malah, sehingga artikel ini ditulis, ia berada di tangga ketiga selepas KL Gangster (RM11.74juta, 2011) dan Ombak Rindu (RM10.9juta, 2011). Tidak mustahil The Journey mampu menandingi kerana tempoh tayangan ada dua minggu lagi.

Tiada yang luar biasa

Merujuk kembali kenyataan saya pada perenggan keempat tadi. Tiada yang luar biasa mengenai filem ini. Justeru, mengapa ia menjadi bualan dan bahan pujian?





Mengapa orang tidak habis-habis memperkatakannya di Twitter? Dan kalau tidak luar biasa, masakan ia boleh mencecah kutipan pecah panggung seperti ini?

Sebenarnya, ‘keajaiban’ yang tercetus ini bertitik tolak dari perkara yang amat asas dalam dunia perfileman iaitu penceritaan yang baik.






Saya tidak menolak faktor sampingan seperti jentera pemasaran yang berkesan serta bajet produksi (RM3juta) yang mencukupi untuk sebuah cereka seperti ini.

Bagaimanapun, tanpa pengarahan yang baik, sesuatu filem itu tidak akan berjaya menawan hati penonton.

Apatah lagi dalam dunia hari ini, ‘word of mouth’ yang disebarkan di media sosial sesama kita lebih mudah untuk dipercayai dan diterima.

Pengarah The Journey, Chiu Keng Guan serta penulis lakon layarnya, Ryon Lee bijak memanipulasikan emosi manusia menerusi sebuah kisah harapan dan perhubungan yang mana kita semua dapat memahaminya.

Meskipun fokusnya terarah kepada komuniti Cina, penonton yang bukan berbangsa Cina seperti saya tidak berasa terasing kerana gambaran Malaysia itu wujud tanpa terasa dipaksa.



Selain tangkapan kamera yang menawan dengan latar belakang panorama indah negara ini, penonton dapat merasakan ‘kejujuran’ dalam setiap patah perkataan.

The Journey adalah sebuah cerita ringkas yang disampaikan dengan efisyen dan tidak berpura-pura untuk menjadi sesuatu yang bukan dirinya.



Sokongan dan kepercayaan

Selain itu, saya juga percaya dengan satu lagi ‘rahsia’ besar yang menyumbang kepada kejayaan The Journey iaitu sokongan.

Saya menonton filem ini pada waktu tayangan 11.45 pagi pada hari terakhir cuti umum Tahun Baru Cina. Dewan panggung bukan saja penuh, malah saya melihat mereka yang datang adalah bersama keluarga dalam kumpulan yang besar.

Saya sendiri duduk diapit oleh seorang lelaki berpangkat datuk dan seorang wanita berpangkat nenek. Ya, saya terdengar esakan kecil mereka menangis.

Situasi ini tidak pernah saya rasai untuk filem berbahasa Melayu.

Saya tidak berniat untuk menaikkan isu perkauman, tetapi saya terkilan.



Filem Melayu yang secara besarnya mewakili ‘jenama’ filem Malaysia rata-rata menerima sambutan lembab lewat kebelakangan ini.

Saya bukan mengatakan The Journey tidak layak menjadi wira, tetapi pembikin filem Melayu perlu mengambil iktibar dan teladan dari kejayaan filem ini.

Sedar atau tidak, pembikin filem Melayu mempunyai lebih banyak kelebihan. Antaranya dari aspek bantuan dana serta peluang publisiti media massa. Malah, pasaran dan sasaran demografi juga meluas.

Justeru, untuk mendapatkan sokongan penonton sekuat The Journey, tepuk dada tanyalah selera.
Peluang untuk tumbuh

Pengalaman menjadi salah seorang juri Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25 tahun lalu, memberi saya sedikit gambaran tentang kemampuan pembikin-pembikin filem berbahasa Cina tempatan.

Mungkin kerana peluang yang terhad, setiap filem itu (antara yang bertanding ialah Petaling Street Warriors dan Ah Beng: Three Wishes) dihasilkan dengan penuh ketelitian, bukan saja dari aspek rekaan produksi tetapi juga jalan cerita yang jelas dan lakonan yang dipercayai.

Sayangnya, mereka tidak tersenarai untuk kategori-kategori utama seperti Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik apatah lagi Filem Terbaik.

Saya tidak mengatakan The Journey adalah sebuah naskhah yang sempurna yang mampu membolot kesemua anugerah untuk FFM akan datang.

Namun, saya gembira sekiranya penganjur tahun ini dapat membuka lebih peluang sama rata kepada pembikin-pembikin filem bukan berbahasa Melayu. Saya percaya dengan cara ini pertumbuhan filem Malaysia menjadi lebih sihat.




Saya juga berharap selepas artikel ini diterbitkan dan anda selesai membacanya, saya tidak akan lagi ditanya soalan sama ada filem The Journey ‘best atau tidak?’.

Salah satu adegan dalam filem The Journey