JURI jemputan Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016), Scha Alyahya mengakui tidak kisah sekiranya dikritik oleh penonton gara-gara komennya yang tegas.
“Mungkin saya harapkan sesuatu yang hebat daripada para peserta MLM 2016. Mereka dah biasa dengan pentas ini, sepatutnya peserta mampu beri persembahan yang luar biasa.
“Tapi apa yang saya lihat, setiap kumpulan berikan juri dan penonton sesuatu persembahan yang sudah boleh dijangkakan. Pada saya kebanyakan persembahan mereka malam ini semuanya klisye.
"Pendapat saya mungkin berlainan daripada juri yang lain kerana saya melihat dari sudut pengisian dan keserasian,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Scha lagi, dia sedar ramai peminat marah dan mempersoalkan keputusannya memberi ‘Meter Ha’ yang sangat sedikit berbanding juri lain.
“Saya tidak tahu pula yang saya merupakan juri yang pertama beri ‘Meter Ha’ paling sedikit iaitu hanya dua. Saya ada alasan tersendiri mengapa beri ‘Dua Ha’ sahaja peserta, contohnya kumpulan Bos.
"Dan saya tahu ramai peminat marah dan tanya kenapa beri markah yang sangat sedikit.
“Pada saya itu sebagai motivasi mereka untuk terus lakukan yang terbaik untuk minggu yang akan datang. Saya pasti Bos mampu pergi lebih jauh jika lebih kreatif dan tidak ambil mudah dengan persembahan mereka,” ujarnya.
Minggu ketiga MLM 2016 menyaksikan Chilok dan peserta solo Kavin diumumkan sebagai peserta yang tersingkir selepas berada di kelompok tiga terbawah untuk dua kali berturut-turut.
Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.
Teks Oleh: Khalid Rahman