PERNAH beberapa kali dalam pertemuan kasual sebelum ini, teralun keluar daripada bibirnya rangkaian kata yang tidak berapa jelas, namun tersusun dalam melodi yang membuai sayu.

Terjadi tanpa sengaja, ternyata itu bukan lagu yang biasa didengari sebelum ini. Jauh sekali melodi lagu penyanyi lain yang dinyanyikannya semula, seperti yang biasa dilakukan untuk menghiburkan pengikutnya di platform media sosial.

Penyanyi yang aura kehadirannya diterima baik merentas generasi, Misha Omar, ‘terperangkap’ sebentar apabila ditanya, “Itu lagu siapa?”

Begitupun penyanyi berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu tidak memberikan apa-apa butiran lanjut. “Nantilah, ada waktunya nanti.” Itu jawapannya. Memang salah satu sifatnya begitu, hanya berkongsi cerita apabila benar ada sesuatu berkaitan dengan kerjaya yang menambah halaman portfolionya.

Sepanjang tempoh membuat comeback yang berjaya menerusi single Sampai Bila, lalu membuktikan keunggulan di Anugerah Juara Lagu, kemudian beraksi di pentas berprestij menerusi konsert istimewa, seterusnya menyambut undangan menyerikan variasi acara dan majlis, waktu yang berlalu membuatkan para peminatnya bertanya, bilakah agaknya Misha akan kembali dengan hadiah terbaharu?

Namun, kemas kini di akaun Instagramnya pada tiga hari lalu, sedikit sebanyak membocor petunjuk yang mengubati rindu peminat. Ya, ada sesuatu yang sedang dalam pembikinan!



Selepas hampir dua tahun melodi dan lirik lagu Sampai Bila terserap teguh dalam jiwa pendengar, Misha akhirnya berkongsi berita gembira apabila single terbaharunya, Tanpa Rela, bakal menemui umum pada pertengahan bulan depan.

Bertitik tolak daripada sambutan luar biasa peminatnya ketika konsert This Is Misha di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) setahun lalu, Misha mengakui itu menjadi inspirasi untuk menghasilkan melodi Tanpa Rela.

“Selepas 18 tahun dalam industri muzik, saya terfikir mengapa tidak saya memulakan satu langkah ke hadapan dengan menghasilkan melodi.

“Biarpun proses penghasilan Tanpa Rela menuntut perjalanan yang panjang, saya bertuah kerana niat itu dipermudahkan apabila dipertemukan dengan pengarah muzik, Lee Sze Wan ketika menjayakan Konsert Soul Sisters di Istana Budaya, April tahun lalu,” ujarnya.



Jelas Misha, memandangkan Tanpa Rela adalah single pertama ciptaannya, dia menyahut cabaran untuk meletakkan standard lebih tinggi dalam buah tangan kali ini, termasuk menjaga ketelitian dalam segenap perkara sebelum melangkah ke studio rakaman pertengahan Julai lalu.

Itu termasuk mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal secara lebih intensif bersama pensyarah vokal berkaliber, Datuk Syafinaz Selamat.

Tanpa Rela memberikan banyak pengalaman manis untuk saya kenang. Tidak hanya menjadi lagu pertama yang saya hasilkan, saya juga teruja kerana buat kali pertama dapat bekerjasama dengan Datuk Syafinaz di studio rakaman sebagai penasihat dan pengarah vokal.

“Ia memberikan suasana yang berbeza buat saya. Sebelum ini, saya hanya melangkah ke studio rakaman untuk memasukkan vokal apabila semua proses awal sudah selesai.

“Tetapi untuk Tanpa Rela, saya terbabit dari awal. Bermula dengan mencari idea untuk menghasilkan melodi, seterusnya berbincang dengan Sze Wan dari segi susunan muzik. Saya juga terbabit dalam penulisan lirik,” ceritanya.

Meskipun proses yang dilaluinya memberi tekanan, malah hingga tidak lena tidur, Misha berdoa segala usaha dan kerja kerasnya itu membuahkan hasil yang diharapkan.

“Selalunya apabila sudah membuat persediaan rapi, ia memudahkan lagi tugasan sebelum melangkah ke studio rakaman. Saya pula sebaliknya.

“Saya menjadi semakin takut dan tidak senang duduk, terutama apabila memikirkan harapan tinggi yang diletakkan peminat. Ia cukup membuatkan saya resah,” akuinya.

Yang pasti, magis selebihnya untuk hasil akhir lagu baharu ini terletak pada disiplin kerja Misha sendiri.

Mengenalinya sebagai seorang yang amat mementingkan kesempurnaan karya supaya ia terus dirujuk, dikenang, dinyanyikan, dan disenangi hingga bertahun-tahun, Tanpa Rela tentunya bakal menjadi sebutir lagi permata yang menjanjikan daya tahan Misha Omar dalam industri serta menambah kemilau legasinya.



Lagu: Tanpa Rela
Komposer: Misha Omar & Sze Wan
Lirik: Misha, Slen & Zul
Penasihat/Pengarah Vokal: Datuk Syafinaz Selamat
Edaran: Sony Music Entertainment (M)