Backstreet Boys 'tayang' kebahagiaan keluarga dalam video muzik terbaharu

Madiha Abdullah
Januari 6, 2019 10:30 MYT
No Place ketengah tema kasih sayang dan keluarga. - YouTube Backstreet Boys Vevo
JIKA diselak sejarah industri muzik pada era 90an, nama Backstreet Boys (BSB) tentunya muncul di ingatan.
Kegilaan terhadap kumpulan vokal yang dilabel boyband itu sangat luar biasa, menyamai fenomena K-Pop yang melanda dunia hari ini.
Baru sahaja melancarkan video muzik single terbaharu mereka yang berjudul No Place, ia mungkin membuatkan anda yang pernah, atau masih, meminati BSB mengenang kembali zaman kegemilangan mereka satu ketika dahulu, dan transformasi mereka yang kini bergelar family man.
Berbeza dengan video muzik lain yang pernah dihasilkan mereka, No Place mengetengahkan tema kepentingan keluarga dan kasih sayang, dengan memaparkan kebahagiaan kesemua lima anggotanya bersama isteri dan anak masing-masing.
Kevin Richardson bertemu jodoh dengan aktres, Kristin dan dikurniakan dua anak lelaki; Brian Litrell berkahwin dengan ahli perniagaan, Leighanne dan mempunyai seorang anak lelaki; Howie Dorough mengahwini bekas pengurus konsert jelajah mereka, Leigh, dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki; AJ McLean mengahwini jurusolek, Rochelle dan dikurniakan dua anak perempuan; manakala anggota paling popular BSB, Nick Carter, bertemu jodoh dengan jurulatih kecergasan, Lauren dan mempunyai seorang anak lelaki.
No Place merupakan single ketiga daripada album terbaharu BSB, DNA, yang akan mula dipasarkan pada 25 Januari ini.
#anak #artis #Backstreet Boys #boyband #BSB #DNA #isteri #keluarga #No Place #penyanyi #Single #video muzik
;