Amazon Entertainment Productions Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya membangkitkan semula Sirah Junjungan yang pernah dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada tahun 2008 dan 2009, bersempena sambutan Maulidur Rasul.

Untuk tahun ini, usaha dan pementasan yang sama dihidupkan semula dengan judul Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta (SRTC).

Dengan barisan pencinta seni seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Awie, Tegar, Datin Sri Umie Aida, Remy Ishak, Beto Kusyairy, Elly Suryati, Datuk Rahim Razali, Shiha, Sahronizam, Jessie Lim dan ramai lagi, pementasan drama muzikal tahun ini dibawakan pada 3 hingga 6 Januari 2015.

SRTC merupakan sebuah drama muzikal riwayat hidup Nabi Muhammad SAW sejak kelahiran sehinggalah kewafatan Baginda dan diiringi selingan lagu-lagu kisah nabi dan selawat.

Ia merupakan produksi pementasan teater Islam yang pertama di Asia Tenggara yang akan memaparkan sejarah hidup Rasulullah SAW sempena sambutan Maulidur Rasul. Skrip dan konsep persembahan SRTC juga telah diluluskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selain membariskan nama-nama besar industri seni tempatan dan Indonesia, SRTC menggabungkan 20 orang pelakon utama, 80 orang pelakon tambahan, 15 orang pemuzik yang akan bermain secara ‘live’ dan 6 orang penyanyi latar.

Set dan props pentas pementasan ini akan mengikut keadaan sezaman yang terdiri dari 12 set pentas dan 20 jenis prop.

Pada 3 dan 4 Januari, dendangan lagu akan disampaiakan Datuk Siti Nurhaliza manakala Awie mengambil tempat pada pementasan 5 Januari dan Amy Search pula pada 6 Januari.

Pementasan pada 7 Januari akan melibatkan semua artis sempena malam amal sumbangan buat mangsa-mangsa banjir.

Pada tarikh berkenaan bermula jam 2 petang, orang ramai boleh datang ke Istana Budaya bagi pengumpulan makanan kering, lampin, selimut, wang tunai atau barangan keperluan berkaitan buat mangsa banjir.

Siti Nurhaliza, Amy Search dan Erra Fazira juga akan bersama-sama melibatkan diri dalam inisiatif tersebut.

Untuk hasil jualan tiket dari 3 hingga 6 Januari 2015, sebahagian hasil akan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir ini manakala pada 7 Januari 2015 kesemua hasil jualan tiket akan diserahkan kepada mereka.

Tiket tiket untuk menyaksikan drama muzikal SRTC telah mula dijual sejak 26 Disember 2014. Harga tiket adalah RM 53, RM103, RM153.00, RM203, RM253 dan RM403. Untuk tempahan secara dalam talian, layari www.airasia.redtix.com.