Video itu memaparkan kamera pengawasan kedai merakamkan aksi penyanyi yang popular dengan lagu ‘Problem’ bersama rakannya menjilat beberapa biji donut namun tidak membelinya.
Tindakan penghibur berusia 22 tahun itu telah melanggar akta kebersihan pemprosesan makanan yang menyebabkan kedai tersebut disiasat oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Riverside County.
Undang-undang California menyatakan pengusahan restoran perlu memastikan makanan bebas dari sebarang bentuk hubungan atau sentuhan dengan pelanggan.
Dalam insiden yang berlaku pada tengah malam Sabtu lalu, Ariana dilihat menjilat beberapa biji donut tanpa pengawasan atau pengetahuan pekerja kedai berkenaan.
Seorang pembantu kedai kemudiannya membawa sedulang donut baru namun Ariana bertindak mengherdik makanan itu dengan mengatakan ianya menjijikkan.
“Apakah itu? Saya benci warga Amerika, saya benci Amerika! Ianya menjijikkan,” ujar Ariana.
Kata-kata itu mengundang kemarahan rakyat Amerika Syarikat lantaran ia dilihat sebagai satu bentuk anti-patriotisme, tambahan pula ia berlaku pada malam hari sambutan kebangsaan.
Penyanyi yang berasal daripada Los Angeles itu pada mulanya dijadualkan untuk membuat persembahan pada malam Sabtu, 4 Julai. Namun beliau membatalkan kemunculannya kerana baru sahaja mencabut gigi bongsu pada hari Isnin.
Insiden itu menjadi topik perbualan hangat serta mendapat perhatian meluas para media seluruh dunia. Ariana menggunakan laman Twitter bagi meluahkan penjelasan dan membuat permohonan maaf.
Menurut Ariana, dia perlu lebih bijak membawa diri ekoran dia merupakan seorang yang dikenali.
Pemilik nama penuh Ariana Grande-Butera ini turut menyelitkan pendapatnya yang merasakan rakyat Amerika Syarikat rata-ratanya tidak mengamalkan cara hidup yang sihat lantaran tidak menjaga pemakanan.
“Kita perlu lebih berusaha untuk mendidik diri dan anak-anak kecil tentang bahayanya makan berlebihan dan ‘racun’ yang kita masukkan ke dalam badan kita,” ujarnya dalam muat naik di Twitter.
Pada masa yang sama, pemilik Wolfee Donuts, Joe Marin memaklumkan bahawa penjualan di kedainya meningkat tiga kali ganda selepas tersebarnya rakaman itu.
Joe juga memaklumkan beliau ada menghantar video rakaman penuh kepada pihak berkuasa yang turut memperlihatkan Ariana menjilat dan meludah beberapa jenis donut yang lain.
Kurang tiga jam lalu, Ariana memuat naik satu rakaman di laman YouTube yang berupa permohonan maaf bagi menjernihkan kembali keadaan.