Filem Hanyut / Almayer's Folly merupakan sebuah filem yang memaparkan budaya kosmopolitan, yang berlaku pada abad ke 19. Ianya merupakan filem yang dinantikan oleh kebanyakkan rakyat Malaysia, dan U-Wei Haji Saari sebagai penerbit eksekutif, yang juga pernah menghasilkan filem-filem yang terbaik seperti Jogho (1997) dan juga Kaki Bakar (1995).
Trailer rasmi Gunung Emas Almayer
Tetapi apabila pihak awam mulai mendengar tentang pelancaran filem itu akan berlaku dahulu di Indonesia, dan bukan di negara sendiri, pihak awam mula menjadi bingung dan resah, kerana filem yang mungkin sahaja mempunyai potensi yang aktif di dalam menukar persepsi awam tentang gambaran masyarakat pada masa itu tidak kesampaian. Antisipasi kami terhadap pergelutan mengenai identiti dan perbezaan kelas atau bangsa yang bakal dipaparkan di dalam filem itu, tidak berjaya menjejakkan hasil mereka di negara ini.
Karakter protagonis di dalam filem itu, Kasper Almayer yang dibintangi oleh Peter O'Brien, merupakan archetype kolonial di negara asing, yang dijanjikan kehidupan yang benar-benar mewah tetapi berakhir dengan kesedaran bahawa kesemuanya adalah ilusi. Karakter yang terasing di negara jajahan dan di negara asal sendiri, watak-watak sebegitu tidak lagi merasakan bahawa mereka diterima di mana-mana. Dibelenggu dengan masalah peribadi dan ilusi tentang kemewahan yang tidak dapat dicapai, kemuncak protagonis tersebut melambangkan jenis pemikiran watak kolonial yang patut dilihat dan dibincangkan oleh para penonton.
Dan karakter Dania Danielle sebagai Nina, watak anak kacukan juga menarik untuk dipaparkan. Tekanan baginya untuk menjadi warga eropah yang pada masa itu dipandang sebagai bangsa yang bertamadun tinggi, mulai tergugat apabila dia mulai jatuh cinta kepada putera Melayu, Dain Maroola yang dibintangi oleh Ady Putra. Pastinya para penonton ingin benar menyaksikan segala jenis pergelutan yang ada, yang menunjukkan keresahan tentang identiti yang begitu kuat mencengkam watak-watak tersebut pada zaman itu.
Rasa teruja yang wujud telah membuat para penonton menjadi lebih kecewa. Kenapakah filem Hanyut tidak dapat disiarkan di negara sendiri terlebih dahulu? Ada juga khabar angin yang menyatakan bahawa filem itu sudah pun disiarkan di dalam penerbangan sebagai in-flight entertainment ke negara lain.
Dimanakah pernyataan rasmi yang harus diberi oleh pihak yang terbabit? Bukankah filem ini merupakan aset negara, dan bertujuan sebagai perlambangan filem hebat yang dihasilkan di negara ini? Ianya benar-benar tidak masuk akal apabila filem ini dirasmikan di negara jiran, dan bagaimana Indonesia dengan hati terbuka menerima filem ini untuk ditayangkan. Lebih-lebih lagi filem yang dikatakan menggunakan kos yang berjuta-juta, mungkin sahaja ianya adalah duit kami semua iaitu duit rakyat.
Pihak kami sudah cuba menghubungi pihak yang terbabit, daripada bahagian penerbit tetapi tidak mendapat balasan langsung, dan sudahpun tertangguh selama beberapa minggu. Apakah sebab yang benar-benar mempengaruhi tayangan filem itu di negara kita?
Pihak awam berhak untuk mendapat jawapan yang jelas, kerana pihak yang terbabit harus melihat filem ini sebahagian daripada produk kebudayaan negara kita, dan harus berperanan sebagai pemangkin kepada kebangkitan industri filem yang benar-benar berkualiti, harus berada di tatanan yang tinggi, dan dilihat sebagai contoh yang elok di kalangan penggiat karya seni.
Filem Hanyut bakal ditayangkan di seluruh Indonesia dengan tajuk Gunung Emas mulai 6 November depan.