Anggota kumpulan dedah rahsia Backstreet Boys kekal 30 tahun
Agensi
Julai 31, 2022 17:25 MYT
Julai 31, 2022 17:25 MYT
BUKAN senang mahu melihat sebuah kumpulan boyband masih bersama selepas berpuluh tahun ditubuhkan.
Lazimnya, anggota kumpulan itu sering bertukar ganti atau apabila sampai tempoh, ada juga yang dibubarkan.
Namun, bagi kumpulan Backstreet Boys (BSB), rahsia mereka adalah tahu meletakkan kepentingan selain identiti diri yang kuat sebagai ahli kumpulan berkenaan.
"Setiap perkara perlu berjalan seiring. Jika saya mempunyai album solo yang berjaya, ia mencerminkan kejayaan saya bersama BSB, di mana saya bermula dan di mana saya akan sentiasa kembali," kata salah seorang anggota BSB, AJ McLean kepada CNN.
Industri muzik telah menyaksikan bagaimana kumpulan boyband seperti *NSYNC dan One Direction berpecah selepas seorang atau lebih ahli mereka mempunyai projek solo.
"BSB 'rumah' saya. Tetapi tidak menjadi kesalahan untuk membuat projek solo," jelasnya.
Kumpulan itu turut dianggotai Kevin Richardson, Howie Dorough, Nick Carter dan Brian Littrell.
Kesemua mereka pernah melakukan projek solo masing-masing.
Richardson pernah meninggalkan BSB selama enam tahun untuk fokus kepada kerjaya di Broadway; Littrell tampil dengan album solo Kristian dan Dorough menerbitkan album kanak-kanak.
Nick Carter pula pernah muncul dalam beberapa filem dan album solo.
"Keutamaan nombor satu kami ialah BSB, apa yang kami lakukan secara individu harus berpaksikan BSB," tambahnya.
McLean, yang baru melancarkan single solo terbaharu berjudul Smoke, kini dalam rangka konsert jelajah DNA World Tour bersama BSB di Amerika Syarikat.
Biarpun usia kumpulan itu sudah menjangkau tiga dekad, tiket untuk konsert jelajah berkenaan habis dijual, sekali gus membuktikan pengaruh mereka masih kuat.
"Saya berbesar hati untuk mengatakan yang saya anggota Backstreet Boys dan saya bangga menjadi anggota Backstreet Boys pada tahun 2022," katanya lagi.