PELAKON dan penyanyi Ayda Jebat menyifatkan tuduhan yang mendakwa dia menang besar di malam Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME 2016) kerana dirinya duta produk Aurawhite sebagai tidak relevan.
Membawa pulang trofi bagi kategori Penyanyi MeleTOP, Lagu MeleTOP (Siapa Diriku), Drama MeleTOP (M.A.I.D), Pelakon MeleTOP dan Artis Top Top MeleTOP Wanita, Ayda merasakan kemenangannya adalah hasil usaha peminat yang mengundi.
“Walaupun Aurawhite menjadi penaja utama bagi AME 2016, kemenangan saya adalah hasil usaha peminat, bukan kerana saya duta. Tuduhan yang dilemparkan adalah tidak relevan.
“Saya merasakan perkara itu tidak adil untuk peminat yang bersusah payah mengundi saya. Mereka berusaha keras tanpa bantuan sebarang pihak untuk mengundi saya pada malam ini,” kata Ayda kepada Astro Gempak.
Ketika ditanya adakah dia akan bersikap demand setelah merangkul kejayaan besar di malam AME 2016, Ayda menafikan perkara itu.
“Saya tidak pernah meletakkan harga ‘mahal’. Saya bekerja dalam bidang nyanyian dan lakonan kerana mempunyai minat yang mendalam terhadap industri hiburan.
“Selain itu, saya harus memastikan yang kualiti kerja yang saya berikan setiap kali muncul dengan produk baru dapat memuaskan hati barisan peminat saya. Saya sangat sayangkan mereka kerana peminat adalah nadi kekuatan saya,” kata Ayda lagi.
Anugerah MeleTOP ERA 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal, Nabil Ahmad, Neelofa dan Jihan Muse bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur menerusi saluran Astro Ria (104), serta siaran serentak di Ria HD (saluran 123). - Oleh: Kamaruddin Razal