KONSERT Dewa 19 Reunion Live in Malaysia bakal berlangsung beberapa hari saja lagi, dan semestinya sesi latihan sedang giat dijalankan ahli kumpulan ini.

Pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani memberitahu ada lebih 50 pilihan lagu mahu diperdengarkan, tetapi hanya 30 lagu terbaik akan dipilih.


Sesi latihan sebelum konsert Dewa 19 - Foto Cak Frod dan Fraudy Yunanto

"Bingung sebenarnya ketika membuat pilihan kerana semuanya disukai ramai. Kami mahu mereka yang datang nanti pulang bersama memori paling manis.

"Setiap dendangan mempunyai nilai sentimental bukan saja kepada kami, malah Baladewa yang membesar bersama rangkaian lagu sejak buah tangan perdana lagi.

"Seboleh-bolehnya kami ingin membawakan semua lagu secara penuh, bukan medley demi kepuasan khalayak penonton supaya dapat menghayati setiap alunan," katanya yang juga penyanyi vokal utama untuk kumpulan dari seberang ini.

Persembahan mega itu sememangnya dinantikan apabila menonjolkan gabungan keramat ketiga-tiga vokalis yang pernah bersama Dewa 19 membabitkan Dhani, Once dan Ari Lasso.

Sesi latihan sebelum konsert Dewa 19 - Foto Cak Frod dan Fraudy Yunanto

Tambah Ahmad Dhani, dia seboleh-bolehnya enggan pengikut tegar terlepas detik gemilang yang bakal tercipta nanti kerana ia mungkin menjadi persembahan gabungan terakhir Dewa 19.

"Justeru itu, konsert nanti kami tidak membuat gubahan muzik semula, sebaliknya kekal dengan melodi asal namun ada di antaranya diperhebatkan dengan suntikan 'brass instrument'.

Sesi latihan sebelum konsert Dewa 19 - Foto Cak Frod dan Fraudy Yunanto

"Kami harap semua Baladewa dapat bersama pada malam itu. Siapa tahu ini yang terakhir. Dewa 19 kini adalah band panggilan. Jika dijemput, kami bisa manggung," tambah penyanyi dan komposer popular itu lagi.

Dewa 19 ditubuhkan pada 1986, di Surabaya, Indonesia.

Menurut penganjur Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia, Nizra Production memaklumkan tiket sudah 80 peratus dijual termasuk tempat duduk termahal RM888.

Tiket boleh didapati melalui laman web www.ticketcharge.com.my.