TERKINI: Yingluck Shinawatra, yang disingkirkan daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri oleh Mahkamah Perlembagaan hari ini, tidak akan bertemu dengan media untuk membuat sebarang kenyataan, lapor The Nation.

Beliau sebaliknya akan menghantar Timbalan Perdana Menteri, Phongthep Thepkanjana; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Varathep Ratanakorn dan setiausaha keadilan, Thongthong untuk mengendalikan sidang media bagi pihaknya, kata sumber yang dipetik oleh akhbar itu.

____________

BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini memutuskan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan sembilan menteri kabinetnya perlu meletakkan jawatan kerana didapati menyalahguna kuasa.

Mahkamah itu mendapati mereka telah bertindak di luar batas undang-undang apabila menukarkan Ketua Majlis Keselamatan Negara, Thawil Pliensri dua tahun lalu.

Pertukaran itu disifatkan oleh mahkamah sebagai "tidak sah, melanggar perlembagaan dan tidak beretika" kerana Yingluck ada muslihat peribadi yang akan menguntungkan ahli keluarganya.

"Status Perdana Menteri sudah berakhir. Yingluck tidak lagi boleh kekal di jawatannya sebagai pemangku Perdana Menteri," kata hakim mahkamah itu seperti dipetik oleh The Nation.

Sidang mahkamah itu disiarkan secara langsung melalui televisyen di Thailand.

Mahkamah memutuskan baki anggota kabinet yang tidak terlibat dengan proses pertukaran Thawil itu masih boleh meneruskan tugas mereka.

Ia juga memutuskan kabinet sementara masih boleh meneruskan tugas sehingga diambil alih oleh kabinet yang baru.

Yingluck adalah perdana menteri sementara selepas parlimen dibubarkan untuk pilihan raya pada Februari lalu. Pilihan raya itu bagaimanapun ditangguhkan oleh mahkamah dan satu tarikh baru ditetapkan pada Julai ini.

Dalam pada itu, Mahkamah Perlembagaan memutuskan ia tidak ada kuasa untuk mengarahkan pelantikan seorang perdana menteri yang baharu seperti yang diminta oleh pengadu.

Kes terhadap Yingluck difailkan oleh seorang senator selepas mahkamah dua bulan lalu memutuskan pertukaran itu sebagai tidak sah dan pegawai keselamatan itu mesti dikembalikan ke jawatan asalnya.

Penentang Yingluck sebelum ini mendakwa pertukaran itu dibuat bermotifkan politik dan mencabul perlembagaan.

Perkembangan terbaru ini dilihat kemuncak krisis politik yang dihadapi oleh pentadbiran Yingluck sejak enam bulan lalu selepas penentang kerajaan melancarkan siri protes untuk menggulingkannya.

Krisis politik itu mempertembungkan kumpulan kelas menengah dan pro istana dengan penyokong Yingluck yang kebanyakannya rakyat bawahan dan luar bandar yang turut menyokong abang beliau, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Thaksin digulingkan oleh tentera pada September 2006 dan kini hidup di luar negara untuk mengelak hukuman penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah ke atasnya pada 2008 atas dakwaan salah guna kuasa berhubung penjualan hartanah.

Keputusan Mahkamah Perlembagaan ini mengimbau semula kes sama pada 2008 yang dilalui oleh dua perdana menteri sebelum ini, Samak Sundaravej dan Somchai Wongsawat yang juga disokong oleh Thaksin.

Yingluck pada Selasa mempertahankan keputusan pertukaran yang dibuatnya itu dengan mengatakan ia adalah keputusan jemaah menteri "demi kepentingan negara" dan beliau tidak campur tangan.

Kumpulan 'baju merah' yang menyokong Yingluck dan kumpulan penentangnya merancang mengadakan rapat umum besar-besaran di sekitar Bangkok dalam masa yang terdekat.

Perkembangan ini mencetuskan kebimbangan akan berulangnya keganasan sama seperti pada 2010 apabila kerajaan yang ketika itu diperintah oleh pembangkang sekarang mengerahkan tentera untuk melumpuhkan tunjuk perasaan penyokong Thaksin.

Selain tuduhan pertukaran pegawai kanan kerajaan, Yingluck juga berdepan tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam skim pembelian beras negara.

Keputusan kes itu akan diketahui sebelum akhir bulan ini. Sabit kesalahan akan membawa kesan yang sama iaitu mundur daripada jawatan serta tambahan sekatan berpolitik selama lima tahun.