WECHAT, salah satu aplikasi permesejan popular dari China kini mengumumkan mereka akan menamatkan penawaran WeChat Pay Malaysia, berkuat kuasa 1 September 2024.

Langkah ini dikatakan diambil sebagai strategi penyesuaian perniagaan mereka.


WeChat Pay


WeChat Pay Malaysia tidak lagi menerima pendaftaran pengguna dompet digital baharu bermula Ogos 2024 ini, dan seterusnya akan menamatkan perkhidmatan pembayaran berkuat kuasa 1 September 2024.

Pengguna boleh melakukan pengeluaran dana daripada WeChat Pay Malaysia sehingga 31 Disember 2024 kelak.

Pengguna boleh menguruskan pengeluaran dengan ke aplikasi WeChat, dan pada akaun WeChat, memilih Me > Pay and Services > Balance > Withdraw, untuk melakukan pengeluaran.

WeChat menyatakan pengguna masih boleh kekal menggunakan Weixin Pay yang membolehkan pengguna Malaysia melakukan pembayaran ketika berada di China, dan begitu juga sebaliknya.

WeChat Pay Malaysia sebelum ini telah diperkenalkan pada tahun 2018 di Malaysia, dan menawarkan beberapa kemudahan pembayaran ketika pelancaran, termasuk di stesen minyak dan juga kedai mamak. Namun, penggunaannya dilihat tidak begitu meluas, apatah lagi dengan pengenalan lambakkan dompet digital ketika itu. -Amanz