RATUSAN penunjuk perasaan berkumpul pada Sabtu di ibu negara Croatia, Zagreb, bagi membantah pengendalian kerajaan terhadap krisis COVID-19 di negara itu.

Mereka melaungkan rasa tidak puas hati dengan sekatan yang dikenakan kerajaan yang disifatkan berbaur sentimen politik.

Dengan membawa lilin dan belon putih, penunjuk perasaan berarak menuju ke bangunan kerajaan, tetapi dihalang polis antirusuhan. 

Keraguan terhadap virus COVID-19 semakin berleluasa di Croatia, dengan pemerhati politik menyalahkan pelbagai faktor.

Ia termasuk berita palsu yang tular di media sosial serta kenyataan pelbagai kumpulan populis dan tokoh sayap kiri.
 
Negara dengan kira-kira empat juta penduduk itu merupakan salah satu yang merekodkan kadar vaksinasi terendah di Kesatuan Eropah.

Setakat ini, hanya 53 peratus daripada populasinya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan hanya 57 peratus daripada 3.3 juta populasi dewasa telah lengkap divaksin.

Di tengah-tengah lonjakan kes baru-baru ini yang menyaksikan kes harian yang tinggi direkodkan selama beberapa minggu dan kadar kemasukan ke hospital yang tidak pernah terjadi sejak Disember 2020, kerajaan konservatif memperkenalkan mandat vaksin.

Ia memerlukan kakitangan kerajaan dan pengguna perkhidmatan awam memiliki pas COVID - langkah yang ditentang kesatuan sekerja dan persatuan profesional.