Warga Australia pulang dari Wuhan, Pulau Christmas persinggahan kurungan

Razak Chik
Januari 29, 2020 21:01 MYT
Pulau Christmas terkenal sebagai pusat tahanan pelarian. - Facebook@ChristmasIslandTourism
AUSTRALIA mengambil keputusan mengasingkan warganya yang pulang dari Wuhan, China sekurang-kurangnya 14 hari bagi menentukan mereka sihat dan tidak menjadi sumber penularan koronavirus.
Tindakan ini menimbulkan kontroversi kerana Pulau Christmas terkenal sebagai pusat tahanan pelarian bagi tujuan menyekat usaha mencari suaka di Australia.
Kerajaan Australia pimpinan Perdana Menteri Scott Morrison mengumumkan pada Rabu, tentang pelan membawa pulang hampir 600 warga Australia yang merayu agar dibawa pulang.
Syarikat penerbangan Qantas sedang menguruskan penerbangan membawa pulang warga Australia seluruh Hubei untuk penempatan sementara di Pulau Christmas.
Kanak-kanak dan warga emas akan diberi keutamaan untuk dibawa pulang dahulu menggunakan pesawat Qantas khas.
Menurut Morrison, Australia sedang bekerja rapat dengan pihak China untuk membuka jalan kepada satu pasukan kedutaan Australia dari Shanghai untuk berkunjung ke Wuhan menggerakkan pelan hantar pulang ini.
Jakarta, Indonesia lebih dekat dengan Pulau Christmas yang terletak lebih 2,000 kilometer ke utara Australia di Lautan Hindi.
Pelan penempatan di Pulau Christmas tidak disenangi beberapa pihak.
Pusat tahanan itu pernah menyaksikan pelbagai protes dan rusuhan kalangan pelarian dari negara Asia selatan dan timur tengah.
Layanan buruk pihak Australia terhadap mereka megundang kritikan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Pusat tahanan yang dibuka pada 2001 ditutup pada 2018 tetapi dibuka semula pada tahun lalu. Kini pusat itu menempatkan empat tahanan dari sebuah keluarga yang berasal dari Sri Lanka.
Apabila tiba nanti, warga Australia yang pulang akan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memulakan hidup dalam kuarantin untuk dua minggu.
New Zealand turut meminta kerjasama Australia untuk membawa pulang rakyatnya. Namun tidak diketahui jika warga New Zealand akan terus diterbang pulau atau turut dikuarantin di Pulau Christmas.
Sementara itu, British Airways mengambil tindakan menggantung semua penerbangan ke China hingga awal bulan Mac.
Sebelum ini British Airways menawar penerbangan terus dari London Heathrow ke Beijing (PKX) dan Shanghai (PVG). Buat masa ini, tempahan dalam talian digantung sehingga Februari 29.
Semua hubungan udara ke China memerlukan penumpang British Airways menggunakan laluan UK-Hong Kong sebelum menyambung perjalanan ke tanah besar China.
#Australia #British Airways #China #Christmas Island #Hubei #koronavirus #kuarantin #novel koronavirus #Qantas #Scott Morrison #virus Wuhan #Wuhan
;