Seorang wanita penoreh getah terbunuh akibat serangan harimau di Tumbon Aiyerweng, Betong, Yala, Selasa.

Pranee Mahasuk, 43, yang cedera parah di kepala dan muka, mati di Hospital Betong.

Suaminya Boontham Mahasuk berkata mereka sedang menoreh getah pada awal pagi bila dia terdengar isterinya menjerit dan mendapati seekor harimau Benggala berada dekat isterinya.

"Saya memanjat pokok dan menembak harimau itu lima kali tetapi binatang itu masih berjalan sekeliling. Saya tembak lima kali lagi," katanya.

Beliau turun dari pokok beberapa jam kemudian bila harimau itu telah pergi.

Polis Betong mengesahkan kejadian itu dan berkata polis dan orang kampung cuba menangkap harimau berkenaan yang dipercayai cedera terkena tembakan.