Kerajaan Myanmar pada Isnin mengaku telah menahan beberapa anggota polis berhubung sebuah video swafoto yang menunjukkan beberapa pegawai memukul orang awam Rohingya.

Pengakuan itu dibuat ketika kerajaan Myanmar dituduh melindungi tindakan pasukan keselamatannya yang didakwa telah melakukan penderaan terhadap minoriti Muslim Rohingya, lapor AFP.

Puluhan ribu orang dari kumpulan etnik itu - yang dibenci kebanyakan majoriti beragama Buddha di Myanmar - telah melarikan diri ketika operasi ketenteraan di negeri Rakhine, yang dilancarkan selepas serangan ke atas pondok polis pada bulan Oktober.


Sumber: YouTube Mir Ahmed A.B Siddiquee

Kerajaan Bangladesh berkata kira-kira 50,000 etnik Rohingya telah melintasi sempadan sejak dua bulan yang lalu.

Mereka menceritakan insiden menakutkan melibatkan kejadian rogol, bunuh dan bakar di tangan pasukan keselamatan Myanmar.

Kisah mereka telah membangkitkan bantahan global terhadap pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang dituduh tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu etnik Rohingya.

Kerajaan Myanmar dalam pada itu menafikan dakwaan kekejaman dan mendakwa pihak tentera memburu militan di sebalik serangan maut ke atas pos sempadan polis.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Myanmar pada Isnin berjanji untuk mengambil tindakan "terhadap pegawai polis yang didakwa memukul penduduk kampung semasa operasi pembersihan kawasan pada 5 November di kampung Kotankauk".

Pejabat Suu Kyi menamakan empat pegawai yang terlibat dalam operasi itu termasuk konstabel Zaw Myo Htike, yang kelihatan selamba merokok menghadap kamera ketika merakam video tersebut.

"Mereka yang dikenal pasti telah ditahan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mendedahkan pegawai polis lain yang memukul penduduk kampung dalam operasi itu," katanya dalam satu kenyataan.

Puluhan video kini muncul didakwa memaparkan kekejaman pasukan keselamatan Myanmar menyeksa penduduk Rohingya, tetapi ini merupakan kali pertama kerajaan mengaku akan mengambil tindakan ke atas mereka.