Anggota Keselamatan Syria berjaya menarik keluar seorang kanak-kanak berusia lima tahun dari runtuhan di daerah al Shaar, Aleppo pada Rabu.

Dalam sebuah rakaman video amatur yang dimuat naik semalam, menunjukkan sekumpulan pekerja terpaksa mengeluarkan kanak-kanak itu selepas mengorek timbunan batu yang menghimpit kanak-kanak malang itu.

Video berdurasi 57 saat itu turut mempamerkan kanak-kanak itu yang berada dalam keadaan trauma, menjerit sejurus selepas diselamatkan sebelum dibawa masuk ke ambulan.

“Kami (terpaksa) membuat satu bukaan, dan ternampak Ghazal (kanak-kanak) yang berusia lima tahun. Kami bersyukur kerana dapat menyelamatkannya,” menurut seorang anggota penyelamat dalam rakaman video itu.

Tentera Syria menawan sebuah daerah yang dikuasai pemberontak di tengah Aleppo pada Selasa beberapa hari selepas melancarkan serangan udara hingga mengorbankan puluhan penduduk dan mencetuskan dakwaan jenayah perang.


Namun, dalam serangan terdahulu selepas mengumumkan rancangan menawan semula bandar yang terpisah minggu lalu, tentera pro-kerajaan menguasai semula daerah Farafira di barat laut kubu bersejarah Aleppo, menurut sumber tentera kepada agensi berita AFP.

Kemaraan itu disusuli serangan udara Syria dan Rusia di kawasan kejiranan yang dikuasai pemberontak di Aleppo.