SANTIAGO: Chile memulakan pemberian dos vaksin keempat kepada segelintir rakyatnya susulan peningkatan kes harian COVID-19 di negara itu.

Menurut Presidennya, Sebastian Pinera, pemberian dos keempat itu adalah sebahagian usaha kerajaannya untuk melindungi rakyatnya susulan impak varian Omicron.

Pinera hadir ketika dua individu dewasa dengan masalah kesihatan menerima suntikan vaksin keempat di Hospital Santiago pada Isnin.

"Hari ini kita merekodkan sekitar 4,000 kes.

"Saya menjangkakan adalah tidak mustahil untuk mencecah sehingga 10,000 kes harian namun jaminan yang ingin saya berikan kepada rakyat negara ini adalah anda semua akan dilindungi dengan vaksinasi dan itu adalah sebab mengapa kita memulakan pemberian dos keempat hari ini," katanya.

Untuk rekod, program pemberian dos keempat di negara itu akan diteruskan sehingga 7 Februari depan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Ia akan diperluaskan kepada individu berusia 55 tahun ke atas.

Sebelum ini, Chile dengan populasi 19 juta penduduk sepatutnya dijadualkan memulakan pemberian dos keempat bermula Februari.

Peningkatan mendadak jangkitan di negara jiran seperti Argentina, Bolivia dan Peru menyumbang kepada keputusan untuk mempercepat proses itu.