Dalam kenyataan pertamanya sebaik tiba pada Rabu, Kellogg berkata beliau datang untuk mendengar pandangan. Beliau menjelaskan bahawa laporan yang akan dikemukakan kepada Presiden Donald Trump bertujuan membantu AS menilai situasi dengan tepat.
"Kami memahami keperluan jaminan keselamatan," katanya ketika bercakap di hadapan kamera televisyen.
Kedatangan Kellogg mengejutkan kerana sebelum ini beliau dijadual tiba pada Khamis, menurut laporan terdahulu.
Trump sebelum itu mengkritik Kyiv pada Selasa malam apabila menyalahkan Ukraine kerana memulakan perang dan mencadangkan bahawa konflik itu sepatutnya sudah berakhir.
"Anda telah berada dalam situasi ini selama tiga tahun," kata Trump. "Anda sepatutnya tidak memulakannya. Anda boleh mencapai satu perjanjian."
Di Kyiv, Kellogg berkata Trump mahu perang itu ditamatkan kerana beliau "memahami penderitaan manusia, memahami kemusnahan yang berlaku."
-- BERNAMA
