Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyeru sokongan berterusan untuk penubuhan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya serta kemasukannya sebagai anggota penuh PBB.
“Kita mesti mendesak agar perdagangan dengan individu dan entiti di wilayah Palestin yang diduduki (OPT) dihentikan.
“Kita juga harus mendesak komuniti yang menceroboh (Israel) dikenakan sekatan secara keseluruhan serta mendesak agar bekalan senjata dan peluru kepada Israel dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Menteri NAM mengenai Palestin, di luar Perhimpunan Agung PBB, di sini, pada Khamis.
Selain itu, Mohamad yang membawa suara Malaysia juga menyeru negara-negara anggota NAM untuk bersatu dalam menyokong hak rakyat Palestin menentukan nasib sendiri, selaras dengan nilai teras gerakan tersebut iaitu kemerdekaan, kenegaraan dan kedaulatan.
“Adalah penting bagi kita, negara-negara anggota NAM, memberikan sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam usaha mereka untuk menentukan nasib mereka sendiri.
“Ini selaras dengan asas dan prinsip gerakan kita (NAM) berhubung hak untuk menentukan nasib sendiri, kemerdekaan, kenegaraan dan kedaulatan,” katanya.
PBB pada 18 September lalu, secara majoriti meluluskan resolusi yang menggesa penamatan pendudukan "tidak sah" Israel dalam tempoh 12 bulan.
Resolusi yang dipelopori oleh Palestin itu diluluskan dengan sokongan majoriti besar, dengan 124 negara anggota mengundi menyokong, 14 menentang dan 43 berkecuali.
Resolusi ini turut disokong bersama oleh Turkiye serta lebih 50 negara anggota lain, yang menuntut pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, termasuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC).