LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) membuat keputusan menggantung penjualan beberapa senjata kepada Israel berikutan terdapat "risiko jelas" peralatan itu boleh digunakan untuk melakukan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Luar UK, David Lammy berkata, negara itu akan menggantung 30 daripada 350 lesen eksport senjata ke Israel.

Peralatan yang terjejas termasuk bahagian untuk jet pejuang, helikopter dan dron.

Menurut Lammy, UK, bagaimanapun, terus menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri dan ini tidak bermaksud sekatan senjata.

Mengulas keputusan UK, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dalam hantaran di akaun X meluahkan perasaan "sangat kecewa" dengan langkah itu.

Sementara Menteri Luar Israel, Katz pula berkata ia menghantar "mesej yang sangat bermasalah" kepada Hamas dan Iran.

Katz mendakwa, operasi Israel mengikut undang-undang antarabangsa.

Kerajaan-kerajaan barat semakin menerima tekanan untuk menghentikan penjualan senjata kepada Israel berikutan cara Israel melancarkan perang terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.

Menurut Lammy, ramai Ahli Parlimen, peguam dan organisasi antarabangsa telah menimbulkan kebimbangan mengenai pelesenan eksport senjata British ke Israel.

Lammy segera meminta kajian semula eksport senjata British ke Israel dilakukan kerajaan UK selepas Parti Buruh mengambil alih tampuk pemerintahan pada Julai lalu.

Beliau berkata, kajian semakan itu tidak dan "tidak boleh memutuskan sama ada Israel telah melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa" atau tidak - dan ini "bukan penentuan mengenai tidak bersalah atau bersalah."

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan mempunyai kewajipan undang-undang sendiri untuk menyemak semua lesen eksport.

"Penilaian yang saya terima membuatkan saya tidak dapat membuat kesimpulan lain selain daripada untuk sesetengah eksport senjata UK ke Israel, terdapat risiko jelas bahawa ia digunakan untuk melakukan atau memudahkan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa."

Beliau berkata, sebahagian daripada larangan itu meliputi aset "yang boleh digunakan dalam konflik semasa di Gaza."

Tetapi bahagian yang dibuat di UK untuk pejuang F35 yang digunakan Israel untuk menyerang sasaran di Gaza tidak akan dimasukkan dalam larangan UK.

Keputusan itu lebih penting dari segi politik berbanding ketenteraan - penjualan senjata UK ke Israel adalah kecil, hanya 1 peratus daripada import pertahanan negara itu.

Amerika Syarikat (AS) setakat ini merupakan pembekal senjata terbesar kepada Israel, menyumbang 69 peratus daripada import senjata konvensional utamanya antara 2019 dan 2023, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm.

Namun begitu, adalah amat mengejutkan bahawa salah satu sekutu terdekat Israel telah menilai terdapat risiko yang jelas bahawa Israel mungkin menggunakan sebahagian daripada eksport senjatanya untuk melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pengumuman itu mungkin tidak mengejutkan kerajaan Israel - ia telah lama diberi amaran - tetapi ia tetap menyakitkan.

Perbincangan mengenai penggantungan penjualan senjata bermula di bawah kerajaan Konservatif yang lalu tetapi ia telah mencapai puncak di bawah pentadbiran Buruh yang baharu.

Kerajaan Parti Buruh telah menggesa gencatan senjata segera dalam perang antara Israel dan Hamas, pembebasan semua tebusan dan peningkatan jumlah bantuan kepada orang awam di Gaza.

Beberapa Ahli Parlimen Buruh telah menggesa Perdana Menteri, Keir Starmer untuk melangkah lebih jauh dan mengharamkan penjualan senjata British ke Israel sepenuhnya.

The Campaign Against Arms Trade dalam laporannya berkata, sejak 2008, UK telah memberikan lesen eksport senjata kepada Israel bernilai 574 juta pound (AS727 juta) secara keseluruhan.

Penyelidikan oleh Parlimen menunjukkan nilai lesen yang diberikan telah menurun daripada 42 juta pound pada 2022 kepada 18.2 juta pound pada 2023. - Agensi