ANKARA: Proses pengesahan permohonan Sweden untuk menyertai NATO mungkin selesai pada hujung 2023 jika tiada perkara yang boleh menjejaskan keadaan, menurut sumber dari Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki, Parlimen negara itu, kepada Sputnik.

"Pada Khamis, suruhanjaya hal ehwal luar Parlimen (Turki) akan mula menimbang permohonan Sweden. Keadaan kini lebih positif dan kami melihat pendekatan yang membina di pihak Stockholm. Jika tiada isu keterlaluan yang boleh menjejaskan keadaan, ada harapan untuk memuktamadkan proses itu menjelang akhir tahun ini," menurut sumber itu.

Pada akhir Oktober, speaker Parlimen Turki Numan Kurtulmus menandatangani rang undang-undang yang mengesahkan permohonan Sweden dalam NATO dan menyerahkannya kepada suruhanjaya parlimen untuk semakan.

Pejabat presiden Turki memberitahu Sputnik bahawa Presiden Recep Tayyip Erdogan telah mencadangkan supaya Parlimen negara itu mengesahkan protokol mengenai penyertaan Sweden dalam NATO.

Sweden dan Finland menyerahkan permohonan untuk menganggotai NATO pada Mei 2022, beberapa bulan selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraannya di Ukraine.

Finland menjadi ahli perikatan itu pada April 2023 manakala permohonan Sweden masih menunggu pengesahan oleh Turki dan Hungary.

-- BERNAMA