WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilantik, Donald Trump mencalonkan Charles Kushner sebagai duta ke Perancis, lapor United Press International (UPI).

Charles Kushner merupakan bapa kepada menantu Trump, Jared Kushner yang berkahwin dengan Ivanka Trump.

"Saya berbesar hati mencalonkan Charles Kushner dari New Jersey sebagai Duta AS ke Perancis.

"Beliau seorang pemimpin perniagaan, dermawan, dan pakar rundingan yang akan menjadi penyokong kuat dalam mewakili negara kita dan kepentingannya," menurut Trump pada Sabtu melalui hantaran di Truth Social.

Kushner, 70, adalah pengasas dan pengerusi Kushner Companies, yang disifatkan Trump sebagai "antara firma hartanah swasta terbesar dan paling berjaya."

-- BERNAMA