Kesemua mangsa terdiri daripada lapan wanita dan tiga kanak-kanak, media tempatan melaporkan, memetik pihak berkuasa tempatan.
Beberapa mangsa juga dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian yang berlaku ketika ratusan orang bersesak dan saling menolak satu sama lain semata-mata untuk mendapatkan makanan yang diedarkan di luar sebuah kilang.
Bahkan, terdapat beberapa mangsa yang terjatuh ke dalam longkang berdekatan, kata jurucakap polis Mughees Hashmi.
Dianggarkan jumlah golongan kurang berkemampuan yang hadir pada program pengedaran makanan itu adalah sekitar 600 hingga 700 orang.
Menurut Hashmi, pemilik kilang berkenaan yang menganjurkan program sedekah itu tidak memaklumkan rancangan tersebut kepada pihak polis.
Katanya, sekiranya dimaklumkan mengenai pengedaran makanan itu, pihak berkuasa tentu sekali akan mengerahkan anggota untuk melakukan kawalan keselamatan.
Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari yang berasal dari wilayah Sindh di Karachi mengarahkan pihak berkuasa untuk menyiasat punca tragedi itu berlaku.
Dengan tragedi terbaharu semalam, jumlah kematian akibat berebut mendapatkan makanan di Pakistan sudah mencecah angka 21 orang sejak minggu lalu.
Program-program pengedaran makanan sempena bulan Ramadan di negara berkenaan bermula sebaik sahaja umat Islam mula melaksanakan ibadah puasa tahun ini.